KWSP: Prestasi kekal cemerlang untuk tiga tahun lagi

Prestasi dividen KWSP dijangka terus cemerlang untuk tempoh tiga tahun akan datang. Foto kecil: Baharom
Prestasi dividen KWSP dijangka terus cemerlang untuk tempoh tiga tahun akan datang. Foto kecil: Baharom
A
A
A

SHAH ALAM - Prestasi dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka terus cemerlang untuk tempoh tiga tahun akan datang.

Penganalisis Ekonomi Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Profesor Dr Baharom Abdul Hamid berkata, ia berikutan strategi dan penyusunan semula pelaburan dalam dan luar negara agensi kewangan itu berjaya membuahkan hasil apabila kadar dividen diumumkan tertinggi dalam tempoh tujuh tahun sejak tahun 2017.

“Pulangan pelaburan selalunya bersifat jangka masa panjang dan selalunya berkekalan sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga tahun.

“Prestasi semakin cemerlang dan sudah mula mendaki, maka ia permulaan yang baik. Kalau tidak kekal (prestasi), ia akan menjadi lebih baik,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.

Baharom berpandangan, pencarum dan kerajaan bertanggungjawab menyokong pelan pelaburan agensi kewangan itu agar mampu memberi pulangan lebih baik di masa akan datang.

Oleh yang demikian beliau berharap supaya tiada lagi pengeluaran khas dibenarkan supaya strategi pelaburan KWSP tidak diganggu.

Ini kerana menurutnya, skim pengeluaran boleh mengakibatkan agensi itu perlu mencairkan atau menjual saham yang memberi pulangan.

“Antara faktor pulangan dividen KWSP cemerlang tahun ini adalah kerana tiada sebarang pengeluaran khas dibenarkan pada tahun 2024,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!