PKNS agih 4,500 bubur lambuk percuma

Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat, Sapna Turmidi berkata, agihan bubur lambuk di bawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Ramadan Kasih PKNS yang telah dilaksanakan selama lebih 20 tahun itu akan dilakukan dalam beberapa fasa melibatkan tiga lokasi berbeza.
“Pada hari ini 4 Mac, kami telah mengagihkan 1,000 bubur lambuk kepada kakitangan PKNS dan 500 kepada orang ramai di Kompleks PKNS Shah Alam.
“Pada 12 Mac, kami juga akan agihkan bubur lambuk kepada kakitangan dan orang ramai dengan jumlah yang sama di Evo Mall, Bandar Baru Bangi manakala pada 20 Mac pula di pusat beli-belah Datum Jelatek, Kuala Lumpur.
“Ia bukan sahaja menyemarakkan semangat berkongsi rezeki tetapi sebagai tanda penghargaan PKNS kepada komuniti di mana pada tahun ini, sebanyak RM37,000 diperuntukkan untuk program ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Bubur Lambuk Kasih PKNS di Kompleks PKNS Shah Alam, pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Korporat) PKNS, Suhaimi Kasdon; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Usaha Sama Strategik) PKNS, Md Kamarzan Md Rais; Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan PKNS, Dr Azlina Jaapar dan ahli pengurusan lain.
Mengulas lanjut, Sapna berkata, selain agihan bubur lambuk, PKNS turut menyampaikan sumbangan Bakul Ramadan Kasih bernilai RM10,000 kepada Asnaf Mualaf Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Putra yang memanfaatkan 50 keluarga.
“Sumbangan ini merangkumi barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung dan telur bagi meringankan beban mereka sepanjang Ramadan.
“Pelbagai program CSR lain diatur sempena Ramadan ini di mana majlis hari ini adalah salah satu daripadanya setelah empat program diadakan sebelum ini dan yang berikutnya ialah Iftar Ramadan Kasih PKNS di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 14 Mac nanti.
“Program tersebut turut meraikan anakanak yatim daripada Persatuan Kebajikan Rumah Anak Yatim Damai, Kuang. Ia bukan sekadar menyantuni golongan memerlukan tetapi mencerminkan usaha PKNS menyebarkan keberkatan Ramadan kepada masyarakat secara keseluruhan,” ujarnya.
Bantu keperluan sekolah anak gelandangan
PRIHATIN terhadap nasib anak-anak gelandangan, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengadakan program tanggungjawab sosial korporatnya menerusi Program Sumbangan Bantuan Pelajaran Ramadan Kasih PKNS di Rumah Ilmu, Chow Kit Kit pada 26 Februari lalu.
Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya yang lebih menekankan pemberian makanan, kali ini PKNS memberi tumpuan kepada keperluan pendidikan dengan menyumbangkan beg sekolah dan alat tulis kepada 45 pelajar berumur antara tujuh hingga 17 tahun.
Sebanyak RM4,500 diperuntukkan bagi memastikan setiap pelajar menerima kelengkapan bernilai RM100 seorang, sekali gus meringankan beban mereka dalam memulakan sesi persekolahan.
Keseluruhan peruntukan bagi program Ramadan Kasih PKNS tahun ini berjumlah RM166,000, membuktikan komitmen PKNS dalam membantu golongan yang memerlukan.
Menurut Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat PKNS, Sapna Turmidi, PKNS bukan sekadar memberikan bantuan jangka pendek, tetapi juga mahu memastikan anak-anak gelandangan mendapat motivasi dan semangat untuk terus belajar demi masa depan yang lebih cerah.
“Bukan hanya makanan yang menjadi keutamaan, tetapi barangan keperluan serta bahan pembelajaran juga amat penting. Anak-anak ini tidak membesar seperti kanak-kanak lain, ditambah pula dengan persekitaran yang mencabar.
“Kami berharap sumbangan kecil ini dapat memberikan mereka semangat untuk terus menuntut ilmu,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Korporat) PKNS, Suhaimi Kasdon, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan PKNS, Dr Azlina Jaapar serta 20 sukarelawan PKNS bagi menyampaikan sumbangan dan menyantuni anak-anak gelandangan tersebut.
Taja baju raya anak yatim, asnaf

SERAMAI 104 anak yatim dan asnaf fakir miskin gembira apabila diberi peluang membeli kelengkapan Aidilfitri di PKNS Shah Alam, di sini pada 22 Februari lalu.
Mereka yang terpilih mengikuti program tanggungjawab sosial korporat, Shopping Raya Ramadan Kasih PKNS itu terdiri daripada 59 anak-anak Persatuan Kebajikan Rumah Anak Yatim Damai Kuang, Gombak dan 45 asnaf fakir miskin Rumah Ilmu, Chow Kit.
Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat PKNS, Sapna Turmidi berkata, sebanyak RM31,200 diperuntukkan bagi menjalankan program hari ini.
“Kesemua mereka menerima RM300 setiap seorang dan berpeluang untuk memilih kelengkapan raya mengikut cita rasa masing-masing sambil dibantu oleh 30 sukarelawan PKNS,” katanya.

Menurut Sapna, inisiatif tahunan itu bertujuan memberi peluang kepada PKNS berkongsi rezeki dengan golongan kurang berkemampuan, sekali gus menyemarakkan semangat keprihatinan dan kasih sayang dalam kalangan masyarakat.
Sementara itu, Muhammad Zul Huzaimi Abdullah, 14, teruja kerana dibawa membeli baju raya oleh PKNS.
“Saya sangat gembira dan memilih baju berwarna hitam yang menjadi kegemaran untuk digayakan pada Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya.
Muhammad Zul Huzaimi me- netap bersama adiknya, Mohamad Zulhakimi Abdullah, 12, di Persatuan Kebajikan Rumah Anak Yatim Damai, Kuang, sejak tiga tahun lalu.
Perasaan yang sama turut dirasai oleh seorang lagi penerima sumbangan, Nur Syafiqah Muhammad Fauzi, 12, merupakan anak asnaf dari Rumah Ilmu Chow Kit, yang meluahkan rasa terima kasihnya kepada PKNS.
“Saya berdoa dan berharap PKNS meneruskan inisiatif murni ini pada masa akan datang,” kata Nur Syafiqah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
