Tan Sri Kamal mentor yang banyak membimbing saya - Noor Azlan

SHAH ALAM - Pemergian bekas Timbalan Naib Canselor (Akademik) Universiti Sains Malaysia (USM), Tan Sri Dr Kamal Salih memberi kesan yang mendalam kepada Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Noor Azlan Ghazali.
Ini kerana menurut Noor Azlan, tokoh akademik berkenaan merupakan mentor yang banyak membimbing dirinya.
"Pulangnya seorang sarjana kepada ALLAH yang Maha Esa. Ramai sekali anak muridnya. Penasihat kepada pemimpin negara dan ahli ekonomi yang dihormati, menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara.
"Mentor yang banyak membimbing saya. Banyak ilmu yang dicurahkan kepada saya dan anak-anak muridnya. Moga ALLAH SWT menerima segala jasa baktinya kepada negara sebagai amal soleh yang berkekalan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Allahyarham Kamal, 78, dilapor meninggal dunia pada Khamis di kediamannya di Southville City di Dengkil, Selangor.
Tokoh akademik itu merupakan mantan profesor dan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM serta tokoh akademik dan ekonomi yang banyak berjasa kepada negara, termasuk menubuhkan Pusat Penyelidikan Dasar USM.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai ahli Panel Ekonomi Perdana Menteri dari 1981 hingga 1986, dan menganggotai Majlis Perniagaan Malaysia dari 1991 hingga 1996.
Selain itu, beliau turut memainkan peranan sebagai Rapporteur-General bagi Majlis Perundingan Ekonomi Negara (MAPEN1) dari 1989 hingga 1991 yang bertanggungjawab merangka dasar pembangunan ekonomi negara.
Selain itu, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Wangsa Maju dari 1996 hingga 1999 dan menubuhkan Yayasan Wangsa Maju kini dikenali sebagai Yayasan Mahkota.
Dalam pentadbiran negara, beliau turut dilantik sebagai penasihat ekonomi dalam Pasukan Petugas Pelaksanaan Nasional (NITF) semasa pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi dari 2006 hingga 2008.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
