Asrama terbakar, pelajar menumpang di masjid

Asrama lelaki MTAJ yang terbakar pada 31 Disember tahun lalu.
Asrama lelaki MTAJ yang terbakar pada 31 Disember tahun lalu.
A
A
A

BATU PAHAT - Kebakaran asrama lelaki Maahad Tahfiz Al Johari (MTAJ) pada 31 Disember tahun lalu mengakibatkan seramai 30 pelajar maahad itu terjejas dan kehilangan tempat tinggal.

Mudir MTAJ, Amirul Amin Borhan berkata, kejadian yang berlaku pada jam 8.30 pagi itu menyebabkan pengurusan maahad mengalami kerugian sehingga RM500,000.

Bagaimanapun, menurut beliau, kerja-kerja baik pulih asrama tersebut tidak dapat dilakukan dalam tempoh singkat kerana kekurangan dana.

Beliau memaklumkan bahawa insiden itu dipercayai berpunca daripada sambungan soket kipas berdiri yang tidak dapat menampung aliran elektrik.

Asrama lelaki MTAJ yang sedang dibaik pulih dan memerlukan dana RM500,000.
Asrama lelaki MTAJ yang sedang dibaik pulih dan memerlukan dana RM500,000.

"Kami sudah memulakan pembaikan asrama selepas menerima sumbangan bumbung daripada seorang individu, namun kos untuk menyiapkan keseluruhannya masih belum mencukupi," katanya.

Jelas beliau, selain baik pulih bangunan, pihak pengurusan MTAJ kini berusaha mendapatkan sumbangan untuk menukar sistem pendawaian elektrik, tingkap dan pintu asrama.

Amirul Amin juga memaklumkan bahawa selepas kejadian itu, pelajar yang terjejas kini ditempatkan di tingkat atas Masjid MTAJ buat sementara waktu.

MTAJ diasaskan oleh seorang usahawan, Allahyarham Borhan Rahmat, dengan matlamat menyediakan pengajian fardu ain kitab kuning, hafazan al-Quran, serta amalan zikir harian untuk pelajar lelaki.

Artikel Berkaitan:

Maahad itu dibina di atas tanah persendirian pengasas seluas 1.25 hektar dengan visi melahirkan lebih ramai huffaz serta pelapis dakwah yang dapat menjadi pembimbing ummah pada masa hadapan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi pembantu kewangan MTAJ, Nur Safia Borhan, di talian 019-2323801 atau terus menyumbang melalui Bank Islam ke nombor akaun 01032010076425.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!