Istana Johor agih bubur lambuk di Batu Pahat

JOHOR BAHRU – Istana Johor meneruskan tradisi mengagihkan bubur lambuk ketika Ramadan yang menjadi sebahagian daripada inisiatif Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menyantuni rakyat di setiap daerah.
Penyelia Istana Johor, Faizol Abdullah berkata, pengagihan bubur lambuk Istana Johor kini diibaratkan sebagai satu tradisi dinanti-nantikan rakyat Johor setiap kali menjelang Ramadan.
“Pada tahun 2020, baginda bertitah untuk menguruskan penyediaan serta pengagihan bubur lambuk ini untuk rakyat di daerah Johor Bahru sahaja sebelum diperluaskan kepada seluruh daerah pada tahun berikutnya,” katanya kepada Royal Press Office (RPO) pada Rabu.
Pada tahun 2021, Sultan Ibrahim turut berkenan memasak sendiri bubur lambuk bersama kakitangan Istana Johor kemudian diagihkan kepada rakyat serta pesakit kanser di Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Sultan Ismail, di Johor Bahru.
Sebelum itu pada Rabu, sebanyak 1,000 bekas bubur lambuk disampaikan kepada rakyat di daerah Batu Pahat.
Faizol turut menyampaikan bubur lambuk kepada Penolong Pegawai Daerah Batu Pahat, Mohd Zainul Ariffin, di Istana Pasir Pelangi sebelum diagihkan ke 16 mukim di daerah berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

