Bapa terharu individu jual 19 jam G-Shock bantu Nur Sumayyah

MELAKA - Bapa kanak-kanak perempuan, Nur Sumayyah, 7, yang menderita kanser saraf, sebak dengan keprihatinan orang ramai yang berusaha membantu mengumpul bayaran kos ubatan anaknya berjumlah RM344,844.
Juruteknik kilang, Azroyhatta Md Jais, 35, berkata, ada individu yang memberikan 19 utas jam tangan jenama G-Shock kepada seorang peniaga baru-baru ini dan lelaki itu berjaya mengumpulkan wang sebanyak RM7,000 hasil daripada penjualan jam tersebut.
Menurutnya, walaupun jumlah itu masih tidak mencukupi namun sejak kisah anaknya dipaparkan media beberapa hari lalu, ada beberapa individu yang tampil memberikan sumbangan wang tunai.

Katanya, sebagai bapa, apa yang diharapkannya adalah keajaiban dari ALLAH SWT agar anak tunggalnya itu pulih dari kanser, sekali gus dapat bersekolah seperti biasa dan berjumpa dengan rakan-rakannya.
"Saya terharu ada individu yang membantu memberikan sumbangan untuk meringankan beban kami untuk menampung kos ubatan Nur Sumayyah.
"Pernah juga saya terfikir nak menjual rumah kami jika tiada cara lain, kerana saat ini yang penting anak saya sembuh," katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang, Allex Seah Shoo Chin di Pokok Mangga, di sini pada Khamis.
Azroyhatta berkata, dia bersyukur kerana wakil rakyat itu sentiasa membantu termasuk menyampaikan cek berjumlah RM23,285.33 yang disalurkan oleh DAP.
Ujarnya, sejak anaknya diuji dengan sakit, perangainya juga berubah daripada seorang kanak-kanak ceria bertukar menjadi seorang yang sensitif dan suka menjerit tidak mengira masa.
"Saya pun tak tahu dia menjerit kerana sedang menahan kesakitan atau sebaliknya, namun kami suami isteri akan cuba buat yang terbaik untuk Nur Sumayyah," katanya.
Sinar Harian pada Selasa lalu melaporkan pasangan suami isteri dari Pokok Mangga di sini tidak sanggup melihat anak mereka yang berusia tujuh tahun terus menderita akibat kanser.
Pembedahan ke atas kanak-kanak itu telah dijalankan pada 19 Februari lalu namun rawatan masih perlu diteruskan untuk memastikan sel-sel kanser tidak kembali aktif.
Nur Sumayyah perlu mengambil 15 botol ubat Qarziba bernilai RM344,844 bagi mencegah kanser saraf itu daripada muncul semula, yang dijangka mula diambil seawal September depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

