Tentera Israel tembak kepala kanak-kanak perempuan

RAMALLAH – Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dilaporkan ditembak di kepala oleh tentera Israel di bandar Qusra, selatan Nablus, di Tebing Barat yang diduduki.
Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan perkara itu memaklumkan mangsa telah dikejarkan ke Hospital Rafidia untuk menerima rawatan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin pada rabu.
Sementara itu, tentera Israel turut mengerahkan kenderaan berperisainya ke wilayah Tulkarem di utara Tebing Barat.
Menurut agensi berita Palestin Wafa, dua kenderaan berperisai memasuki bandar itu melalui pos pemeriksaan ‘Einav di pintu timur Anabta dan menghalang lalu lintas di jalan utama.
Dua lagi kenderaan berperisai turut dikerahkan melalui pos pemeriksaan tentera Jbara di selatan bandar berkenaan.
Selain itu, beberapa lagi pasukan tentera Israel termasuk unit infantri dan kenderaan ketenteraan turut dikerahkan ke kawasan terbabit.
Pencerobohan tentera Israel di bandar tersebut kini memasuki hari ke-38, menyebabkan kemusnahan besar terhadap infrastruktur di kawasan itu. - AlJazeera
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

