Zakat MAINPP agih RM4.24 juta menerusi Skim Nur Ramadan

Mohamad (tengah) bergambar bersama sebahagian penerima bantuan Skim Nur Ramadan.
Mohamad (tengah) bergambar bersama sebahagian penerima bantuan Skim Nur Ramadan.
A
A
A

SEBERANG JAYA - Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) memperuntukkan sebanyak RM4.24 juta untuk diagihkan kepada seramai 18,937 asnaf fakir dan miskin di negeri ini melalui Skim Nur Ramadan.

Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, jumlah itu merangkumi sumbangan tunai RM2.75 juta yang membabitkan 3,937 penerima manakala selebihnya iaitu RM1.5 juta diberikan dalam bentuk hamper kepada 15,000 penerima.

"Seramai 3,937 individu menerima wang tunai sebanyak RM700 setiap seorang manakala 15,000 individu lagi mendapat hamper bernilai RM100 setiap satu yang boleh ditebus di kompleks beli belah yang berdaftar dengan Zakat MAINPP.

"Objektif bantuan ini adalah untuk meringankan beban golongan asnaf dan miskin dan seterusnya memberikan kegembiraan sempena bulan Ramadan ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Agihan Skim Nur Ramadan itu di Seberang Jaya, di sini, pada Rabu.

Hadir sama Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman; Setiausaha MAINPP, Datuk Rosidi Hussain dan ahli-ahli lembaga pengarah Zakat MAINPP.

Saadiah dan suaminya, Amran.
Saadiah dan suaminya, Amran.

Dalam pada itu, salah seorang penerima, Saadiah Alias, 48, menzahirkan rasa syukur dengan bantuan yang diterimanya.

Katanya, dengan bantuan itu sedikit sebanyak membantu meringankan beban dia dan keluarga.

Dia yang diserang strok sejak hampir dua tahun lalu itu berkata, suaminya, Amran Abdullah, 50, terpaksa berhenti kerja untuk menjaganya.

Artikel Berkaitan:

"Suami saya juga perlu menjaga ibu saya yang terlantar akibat penyakit saraf.

"Alhamdulillah, bantuan ini bukan sahaja memudahkan, malah, membolehkan kami membuat persiapan awal untuk menyambut Aidilfitri nanti," katanya.

Roslan pertama kali menerima bantuan Zakat MAINPP.
Roslan pertama kali menerima bantuan Zakat MAINPP.

Seorang lagi penerima, Roslan Md Ruzi, 57 turut berterima kasih kepada Zakat MAINPP atas pemberian sumbangan bantuan Skim Nur Ramadan yang meringankan beban hidupnya.

"Syukur sangat selepas saya berhenti kerja memang soal sumber pendapatan agak mencabar namun dengan bantuan yang diberikan ini amat membantu kami golongan yang memerlukan,"katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!