FAMA sasar RM1.5 juta hasil jualan bazar Ramadan di Sabah

KOTA KINABALU - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan hasil pendapatan sebanyak RM1.5 juta menerusi jualan di bazar Ramadan di Sabah.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, bazar Ramadan anjuran FAMA telah dimulakan sejak 1985 dan di Sabah, ini merupakan edisi ke-24 yang beroperasi di dua lokasi berasingan iaitu di Asia City dan Putrajaya Telipok.
"Tahun lalu, kita telah mencapai hasil jualan di bazar Ramadan di Sabah ini sebanyak RM1.3 juta. Jadi kita nampak bahawa sambutannya sangat menggalakkan.
"Pada tahun ini, kita telah meningkatkan sasaran kepada RM1.5 juta dan apabila kita lihat suasana yang ada di sini, walaupun hari ini hujan lebat tetapi pembeli tetap juga keluar untuk melawat ke bazar Ramadan yang dianjurkan FAMA, peniaga tetap juga meneruskan perniagaan mereka dengan kehadiran orang ramai," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Bazar Ramadan Peringkat Sabah di Pasar Tani Asia City di sini pada Jumaat.
Diminta mengulas jika FAMA berhasrat untuk menambah jumlah bazar Ramadan di seluruh negara terutama di Sabah, beliau berkata, melihat kepada sambutan yang menggalakkan ia mungkin boleh dipertimbangkan.
"Apabila berjalan tadi, saya berpeluang berjumpa dengan peniaga dari daerah lain yang datang dari Putatan, Kota Belud dan Kudat, ada juga dari Labuan.
"Ini menunjukkan pasar tani ini memang sangat popular dan memang ada permintaan untuk diperluaskan," katanya.
Sebelum itu, beliau memaklumkan setakat ini hanya terdapat 10 bazar Ramadan anjuran FAMA di seluruh negara iaitu Sabah, Perlis, Johor dan Sarawak masing-masing dua lokasi manakala satu lokasi di Perak dan Selangor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
