Pemilik kuarters kerajaan bela kucing terima 'kunjungan' penguat kuasa

Keadaan unit kuarters ketika pemantauan dilaksanakan pasukan penguatkuasa BPH.
Keadaan unit kuarters ketika pemantauan dilaksanakan pasukan penguatkuasa BPH.
A
A
A

PUTRAJAYA - Pemilik dua unit kuarters kerajaan yang memelihara kucing menerima 'kunjungan' pasukan penguatkuasa Unit Naziran, Seksyen Pengurusan Kuarters, Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH).

Menerusi perkongsian di laman Facebook, BPH memaklumkan tindakan itu dibuat ke atas unit di Presint 5 dan Presint 15, baru-baru ini selepas pihaknya menerima aduan daripada penghuni berhubung salah laku tersebut.

No Image Caption

Berdasarkan Perintah Am Bab ‘E’, Pekeliling-pekeliling yang berkuat kuasa serta Surat Perjanjian Menduduki Kuarters Kerajaan BPH, Jabatan Perdana Menteri, penghuni adalah dilarang memelihara sebarang binatang peliharaan atau haiwan lain di dalam unit atau mana-mana kawasan tersakat.

Jelas bahagian itu, pemantauan berkenaan dilaksanakan mengikut sistem demerit yang melibatkan pemotongan mata terpakai bagi kesalahan larangan membela dan memberi makan kepada haiwan.

"Pemotongan 10 mata demerit boleh dikenakan kepada penghuni yang melanggar peraturan tersebut dan jika mata demerit terkumpul melebihi 70, surat peringatan akan dikeluarkan," katanya.

Tambah BPH, apabila markah demerit mencapai 100 mata demerit, notis pengosongan kuarters boleh dikeluarkan kepada mereka yang terlibat.

"BPH mengingatkan para penghuni agar sentiasa menjaga keharmonian serta keselesaan bersama semasa tinggal dalam komuniti kejiranan dengan memupuk rasa tanggungjawab dan hormat menghormati antara satu sama lain.

"Elakkan situasi yang boleh menjadi kepada kacau ganggu dan ketidaktenteraman di komuniti anda," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam hantaran sama, BPH turut memuat naik beberapa keping foto yang memaparkan keadaan kucing dan ruangan yang bersepah seperti tidak terurus di unit kuarters terlibat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!