Pesakit sembuh kembali positif Covid-19

Pemeriksaan susulan yang dilakukan pesakit mendapati mereka kembali disahkan positif virus tersebut. - Foto AFP
Pemeriksaan susulan yang dilakukan pesakit mendapati mereka kembali disahkan positif virus tersebut. - Foto AFP
A
A
A

BEIJING - Kira-kira 14 peratus pesakit yang sembuh daripada jangkitan koronavirus (Covid-19) dan dibenarkan keluar dari hospital di wilayah Guangdong didakwa kembali positif virus tersebut menerusi pemeriksaan susulan dijalankan ke atas mereka.

Caixin Global melaporkan pihak berkuasa kesihatan tempatan berpendapat keadaan terbabit berlaku kerana pesakit yang telah pulih berkemungkinan masih membawa virus membawa maut tersebut.

Timbalan Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Guangdong (Guangdong CDC), Song Tie berkata, tiada kesimpulan jelas bagaimana ia berlaku dan mengapa pesakit masih didiagnos positif Covid-19.

“Pakar menerusi laporan penilaian awal percaya pesakit sebenarnya pulih daripada jangkitan paru-paru dan belum sembuh sepenuhnya. Kami bersiap sedia untuk menempatkan semula pesakit yang disahkan positif di bawah pemantauan rapi. Pihak berkuasa kesihatan juga akan memantau pesakit yang dibenarkan keluar dari hospital dan mengikuti perkembangan mereka,” jelasnya.

Menurut garis panduan rawatan terbaharu Covid-19 yang dikeluarkan Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China, pesakit boleh dianggap sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital apabila dua ujian dilakukan berturut-turut pada tekak atau hidung disahkan negatif bersama imbasan tomografi berkomputer (CT) yang mengesahkan tiada jangkitan pada paru-paru atau simptom jelas seperti demam.

Garis panduan itu mencadangkan pesakit yang telah sembuh supaya sentiasa memantau perkembangan kesihatan mereka dan mengehadkan aktiviti luaran selama dua minggu selepas meninggalkan hospital serta melakukan ujian semula pada minggu berikutnya.

“Keputusan ujian pemeriksaan susulan segelintir pesakit kembali positif,” kata Pengarah Unit Jagaan Rapi di Guangzhou No 8 People’s Hospital, Li Yueping pada taklimat semalam.

Tambah Yueping, No 8 People’s Hospital itu telah merekodkan 13 pesakit yang telah sembuh kembali positif Covid-19 walaupun mereka tidak menunjukkan simptom baharu manakala ujian asid nukleik ke atas 104 kontak rapat kesemua pesakit didiagnos negatif.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penyakit Berjangkit di hospital itu, Cai Weiping memberitahu kesemua keputusan positif pada pesakit telah sembuh diperoleh daripada ujian pada dubur yang merupakan kaedah jarang digunakan di wilayah lain di China.

“Ujian tersebut berada dalam lingkungan ‘positif lemah’,” ujarnya.

Difahamkan, garis panduan ditetapkan kerajaan hanya memerlukan ujian pada tekak atau hidung pesakit disyaki berikutan virus tersebut dipercayai tersebar melalui titisan cecair pernafasan yang disebarkan apabila individu terbabit batuk atau bersin.

Tetapi, penyelidikan dilakukan Universiti Perubatan Guangzhou menemui virus itu daripada sampel najis yang menunjukkan cara baharu penyebaran hingga menyebabkan beberapa hospital di Guangdong melakukan prosedur tersebut.

Sehingga lewat Isnin lalu, Guangdong melaporkan 1,347 kes jangkitan dan 805 pesakit disahkan pulih manakala angka kematian mencecah tujuh orang.

Kes sama melibatkan pesakit sembuh disahkan positif semula Covid-19 turut dilaporkan di wilayah Sichuan dan Hainan. - Agensi