Eda Ezrin, suami dan empat rakan tiba di Mahkamah Wilayah Narathiwat

NARATHIWAT, THAILAND - Trak yang membawa penyanyi 'Bea Sobar Bea', Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, atau Eda Ezrin, suami dan empat rakan tiba di Mahkamah Wilayah Narathiwat di sini pada Khamis untuk mendengar keputusan berkait tuduhan memiliki 6,059 biji pil yaba pada 1 November tahun lalu.
Kenderaan itu tiba di pekarangan mahkamah pada jam 10.15 pagi.
Turut kelihatan ahli keluarga tertuduh yang hadir untuk mendengar keputusan selain memberi sokongan.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Mahkamah Wilayah Narathiwat menjadi tumpuan seluruh rakyat Malaysia apabila nasib Eda Ezrin, suami serta empat rakannya akan diputuskan pada Khamis.
Ia melibatkan pertuduhan memiliki 6,059 pil kuda semasa ditahan dalam serbuan di sebuah hotel dekat Golok, di sini pada 1 November tahun lalu.
Selain Eda Ezrin, suami (Mohd Affendi Ahmad, 35), Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, Erdieka Mohd Noor, 33, serta Zuhaira Nasrin, 26, turut berdepan pertuduhan memiliki pil kuda tersebut.
Hakim menetapkan tarikh keputusan kes itu pada 6 Mac (Khamis) selepas selepas selesai mendengar keterangan dan saksi pendakwaan semasa perbicaraan berlangsung pada 11, 13 dan 14 Februari lalu.
Pada 14 Januari lalu, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki pil berkenaan semasa pertuduhan dibacakan oleh Hakim Mahkamah Wilayah Narathiwat.
Bagaimanapun, Eda Ezrin, suami dan rakan-rakanya yang lain mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah.
Dua rakan Eda Ezrin iaitu Erdieka dan Zuhaira mengaku bersalah atas dua pertuduhan memasuki Thailand secara haram dan tiada dokumen perjalanan atau pasport sah untuk berada di negara ini.
Kesemua mereka diwakili tiga peguam bagi mengendalikan kes tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

