X

Kindly register in order to view this article
!

Apabila penghantar makanan hantar sajian tidak halal...

PILIHLAH menghantar makanan yang halal.
A
A

KHIDMAT penghantar makanan begitu signifikan dan sangat diperlukan pada masa kini.

Apa tidaknya, dalam kita mengharungi gaya hidup yang sibuk ditambah pula dengan kesesakan lalu lintas, adakalanya perkhidmatan sedemikian amat membantu kita untuk memesan makanan tanpa perlu ke restoran untuk membelinya.

Malah, banyak syarikat menawarkan perkhidmatan tersebut yang mana ia boleh dipesan secara atas talian dan dihantar menggunakan khidmat penghantar makanan.

Namun, menjadi kemusykilan apabila seorang penghantar makanan yang beragama Islam terpaksa menghantar makanan tidak halal atau tempahan daripada restoran meragukan dari segi halal kepada pelanggan.

Apakah hukumnya jika terpaksa berbuat demikian? Apakah pula langkah yang perlu diambil si penghantar makanan tadi?

Segmen Soal Jawab Netizen pada hari ini akan merungkaikan persoalan tersebut.

Ujar pendakwah yang juga pensyarah Universti Utara Malaysia, Dr Fitri Haris, halal dan haram sebenarnya merupakan perkara yang nyata dalam Islam.

"Katakan kita orang Islam dan hantar makanan atau minuman tidak halal umpamanya arak. Sudah jelas penghantar arak ini tergolong sebagai 10 golongan berdosa besar.

"Itu berkaitan arak, tetapi bagaimana pula jika ia melibatkan makanan tidak halal? Ia tetap tidak digalakkan dan tidak boleh sama sekali kita menghantarnya," jelas beliau.

Kepada mereka yang bekerja sebagai penghantar makanan, Fitri menasihatkan agar mereka memilih untuk menghantar makanan yang halal.

"Apatah lagi, apabila memberi makanan kepada orang Islam sendiri. Contohnya, seorang pak cik yang lapar dan memesan makanan, kemudian dia makan makanan kita lantas menunaikan solat, begitu banyak pahala yang kita dapat.

"Sebenarnya, kita ada pilihan (untuk memilih menghantar makanan yang halal) dan bukan terpaksa. Hakikatnya, kita sendiri yang akan memilih jalan hidup kita," katanya.

Andai kata penghantar makanan tadi pernah menghantar makanan tidak halal sebelum ini, apakah yang perlu dilakukan?

Menjawab persoalan itu, Fitri berkata, umat Islam boleh menyucikan harta mereka dengan zakat.

"Berilah sebahagian daripada harta kita dan kiralah zakat dengan baik. Sesungguhnya, zakat dapat menyucikan harta kita. Mudah-mudahan hidup kita akan menjadi barakah dan halalan toyyiban (halal lagi baik)," terang beliau.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus