Malaysia di kedudukan keempat, prihatin terhadap kelestarian di Asia

SHAH ALAM - Tinjauan Pelancongan Lestari 2025 mencatatkan Malaysia sebagai pasaran pelancongan keempat paling prihatin terhadap kelestarian di Asia.
Kajian yang dijalankan oleh platform pelancongan digital Agoda itu mendedahkan hampir 80 peratus pelancong Malaysia mempertimbangkan aspek kelestarian dalam perancangan percutian mereka bagi tahun ini mengatasi purata keseluruhan pelancong Asia yang mencatatkan 68 peratus.
Ramai pelancong Malaysia juga didapati membuat pilihan untuk lebih bertanggungjawab dalam mengurangkan kesan terhadap alam sekitar apabila hampir 24 peratus memilih melancong pada musim luar puncak bagi mengurangkan kesesakan.
Selain itu, sebanyak 19 peratus lagi memilih penginapan yang mempunyai pensijilan kelestarian manakala 18 peratus secara aktif menyokong perniagaan kecil dan sederhana sebagai usaha pemeliharaan budaya tempatan.
Pengarah Malaysia dan Brunie di Agoda, Fabian Teja berkata, trend ini amat memberangsangkan kerana mencerminkan kesedaran tinggi rakyat Malaysia tentang aspek kelestarian sekali gus memberi impak positif kepada destinasi yang akan dikunjungi.
“Sungguh menggalakkan melihat semakin ramai pelancong Malaysia mula sedar terhadap kepentingan kelestarian, dan Agoda sentiasa bersedia untuk menyokong matlamat perjalanan itu.
“Menerusi kelestarian yang menjadi fokus utama kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, jelas menunjukkan semakin ramai rakyat negara membuat pilihan yang bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Bagi memperkukuhkan usaha tersebut, Fabian berkata, Agoda menawarkan program Eco Deals yang bukan sahaja memberikan diskaun menarik di penginapan mesra alam tetapi turut menyumbang kepada usaha pemuliharaan tempatan.
Menurutnya, melalui inisiatif ini, bagi setiap tempahan yang dibuat di bawah program tersebut, satu dolar Amerika Syarikat (AS) akan didermakan kepada projek pemuliharaan Hidupan Liar Sedunia (WWF) bagi melindungi haiwan dan habitat seluruh Asia.
“Sejak pelancaran Eco Deals bagi edisi 2025 baru-baru ini, ia telah menawarkan diskaun sehingga 15 peratus hotel terpilih merentasi 10 pasaran Asia termasuk Jepun dan Korea Selatan.
“Agoda kini menawarkan lebih daripada lima juta penginapan percutian, 130,000 laluan penerbangan serta 300,000 aktiviti yang boleh digabungkan dalam satu tempahan, membolehkan pelancong menikmati perjalanan lebih lancar dan berpatutan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

