14 lelaki merusuh, lakukan khianat sudah ditahan

JOHOR BAHRU - Seramai 14 lelaki tempatan ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kes merusuh dan khianat di hadapan Sport Hub, Jalan Austin Heights di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kesemua yang berusia antara 19 hingga 46 tahun itu ditahan oleh anggota Bahagian D7, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) dalam operasi yang dijalankan dari jam 12.55 tengah malam hingga 3 pagi.
“Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi pada Selasa, seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun, berada bersendirian dalam kenderaan pacuan empat rodanya di hadapan Sport Hub sebelum didatangi sekumpulan individu yang bertindak menyerang serta merosakkan kenderaannya.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami luka di bahagian siku kanan dan tapak tangan kiri akibat terkena serpihan kaca,” katanya dalam satu kenyataan pada petang Rabu.
Beliau berkata, hasil semakan rekod lampau mendapati 10 daripada suspek mempunyai pelbagai kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah, manakala empat lagi tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
Selain itu, semakan lanjut juga mendapati kesemua suspek tidak dikehendaki polis, dan hasil ujian saringan air kencing mendapati mereka negatif dadah.
Menurut Raub, semua suspek ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga 7 Mac bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang menyebabkan kerugian atau kerosakan harta benda, selain Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh dengan senjata atau objek berbahaya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

