Peruntuk RM5,000 bina laluan berbumbung masjid

Mohamed Fahmi (kiri) menyerahkan replika cek bernilai RM5,000 bagi pembinaan laluan berbumbung di Dewan Serbaguna Masjid As-Siraj, Batu 23, Sungai Nibong, Sabak Bernam pada Rabu.
Mohamed Fahmi (kiri) menyerahkan replika cek bernilai RM5,000 bagi pembinaan laluan berbumbung di Dewan Serbaguna Masjid As-Siraj, Batu 23, Sungai Nibong, Sabak Bernam pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM5,000 bagi pembinaan laluan berbumbung di Dewan Serbaguna Masjid As-Siraj, Batu 23, Sungai Nibong, Sabak Bernam.

Bantuan itu diumumkan Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr Mohammad Fahmi Ngah dalam program Kembara Masjid Selangor (KEMAS) pada Rabu.

Pejabat Exco dalam kenyataan memaklumkan, peruntukan itu bertujuan memastikan keselesaan jemaah terutama ketika menghadiri pelbagai aktiviti masjid termasuk solat berjemaah dan kuliah agama.

"Sebagai sebahagian daripada usaha kebajikan, bantuan sebanyak RM100 turut diberikan kepada 40 keluarga asnaf di kawasan Sungai Nibong.

"Selain itu, seramai 100 pelajar sekolah dan tahfiz menerima wang saku sebagai bantuan perbelanjaan harian mereka," katanya pada Rabu.

Menurut kenyataan itu, KEMAS bertujuan memastikan kerajaan negeri terus cakna terhadap isu-isu berkaitan infrastruktur masjid menerusi aktiviti turun padang bagi melihat sendiri keadaan masjid dan menyantuni jawatankuasa serta anak kariah.

Tambahnya, inisiatif itu akan diteruskan lagi sepanjang bulan Ramadan di daerah Hulu Selangor dan Petaling.

"KEMAS bermatlamat mengimarahkan masjid terpilih di setiap daerah dan merapatkan hubungan dengan komuniti setempat," ujarnya.

Pada tahun lalu, program itu bermula di Masjid Jamek Batu Arang, Gombak dengan pelbagai aktiviti pengimarahan masjid seperti solat Subuh berjemaah, kuliah Subuh, gotong royong, jamuan rakyat dan solat Zuhur berjemaah.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!