Dua tauke perabot miliki bingkai gambar ada kesalahan ayat al-Quran didenda
KUALA KRAI – Dua pemilik kedai perabot masing-masing didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah memiliki bingkai gambar mengandungi kesalahan ayat al-Quran pada Ogos tahun lalu.
Orang Kena Saman (OKS), Liakathali Sharif, 64, dan Wan Zuraini Abd Rahim, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Amal Razim Alias.
Mengikut pertuduhan, Liakathali didakwa memiliki 24 bingkai gambar al-Quran pelbagai saiz dan empat unit peranti zikir yang mengandungi kesalahan ayat mengikut Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sebuah premis perniagaannya di Jalan Kuala Krai, pada jam 11 pagi, 26 Ogos tahun lepas.
Sementara itu, Wan Zuraini pula didakwa secara berasingan memiliki lima bingkai gambar al-Quran pelbagai saiz yang mengandungi kesilapan ayat di sebuah premis perniagaannya di Jalan Ah Seng, di sini pada masa dan tarikh yang sama.
Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 14(1) Akta Pencetakan Teks al-Quran 1986 (Pindaan 2023) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding, Pegawai Pendakwa KDN, Raja Husin Raja Ibrahim dan Mohd Runaim Sulaiman memohon hukuman setimpal terhadap kedua-dua OKS sebagai pengajaran agar lebih berhati-hati dalam menjual barangan yang mengandungi ayat suci al-Quran.
Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Hafizah Hanafi yang mewakili mereka, merayu hukuman ringan dikenakan dengan alasan kedua-dua anak guamnya tidak mengetahui bahawa barangan yang dijual mengandungi kesalahan ayat al-Quran.
Mereka juga berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Amal Razim menjatuhkan hukuman denda RM1,500 terhadap setiap mereka atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda.
Kedua-dua mereka membayar denda berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

