Suami isteri maut nahas dua kenderaan

PARIT BUNTAR - Suami isteri maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Jalan Pantai Batu 9, Tanjung Piandang dekat Kuala Kurau di sini pada Rabu.
Dalam kejadian itu, Baharudin Ahmad, 59, dan Wan Saniah W Ismail, 66, yang menaiki kereta jenis Perodua Kelisa, meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit.
Seorang lagi mangsa, remaja lelaki berusia 13 tahun yang berada dalam kenderaan sama terselamat, namun mengalami kecederaan.

Panggilan kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kurau pada jam 7.29 pagi melibatkan kereta dinaiki mangsa dengan sebuah kereta jenis Honda City.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kedua-dua mangsa disahkan maut oleh pegawai perubatan yang hadir ke lokasi kejadian sebelum ketibaan anggota bomba.
"Ketua operasi melaksanakan size-up seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER dengan mengarahkan anggota menggunakan peralatan pemotong hidraulik (hydraulic cutter) untuk kerja penyelamatan sehingga mangsa berjaya dikeluarkan," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa cedera dibawa ke hospital untuk rawatan.
Katanya, keadaan pemandu Honda City tidak dapat dipastikan kerana tiada di tempat kejadian ketika anggota bomba tiba.
"Operasi disertai lima anggota itu tamat pada jam 8.50 pagi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

