Pendandan rambut tak mengaku salah cederakan suami guna penyapu

SEREMBAN - Seorang pendandan rambut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan kepada suami menggunakan batang penyapu, alat pemberat dan sebilah pisau.
Tertuduh, Sharifah Nurul Ainasama Syed Omar, 40, yang hadir ke mahkamah dalam keadaan bertongkat mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Datin Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, wanita itu dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas suaminya, Muhammad Danial Zafri Zairi, 31, menggunakan peralatan disebutkan.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Iringan Bayu, Seremban pada 26 Februari lalu.
Tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni mencadangkan tiada jaminan diberikan kepada tertuduh selepas mangsa mengalami luka dan lebam serta kecederaan tisu lembut.
Norazihah berkata, jika diberikan jaminan, kadarnya hendaklah sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tertuduh tidak boleh mengganggu saksi, melapor diri di balai polis dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan minimum diberikan kerana perlu menanggung dua anak.
Wanita itu turut memberitahu mahkamah bahawa kejadian itu berlaku susulan suaminya memukulnya terlebih dahulu.
Hakim menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta tertuduh perlu melapor diri di balai polis terdekat serta pasport diserahkan kepada mahkamah serta tidak mengganggu saksi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

