Standard baharu Sistem Pengurusan Antirasuah dilancar

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengamal Sistem Pengurusan Antirasuah Malaysia (ABMS-MY) melancarkan ISO 37001:2025, standard baharu bagi Sistem Pengurusan Antirasuah yang diperkenalkan oleh International Organization for Standardization (ISO).
Standard ini bertujuan memperkukuh langkah pencegahan rasuah, meningkatkan integriti organisasi serta mempromosikan amalan perniagaan yang beretika dan telus.
Menurut ABMS-MY, standard ini boleh digunakan secara bersendirian atau digabungkan dengan sistem pengurusan lain seperti ISO 9001 bagi Sistem Pengurusan Kualiti dan ISO 14001 bagi Sistem Pengurusan Alam Sekitar.
"ISO 37001:2025 menyediakan panduan yang jelas dan praktikal bagi membantu organisasi mencegah, mengesan serta menangani risiko rasuah.
"Standard ini juga memperkukuh akauntabiliti kepimpinan dalam memacu budaya etika dan integriti di tempat kerja, selain meningkatkan kredibiliti organisasi serta keyakinan pemegang taruh terhadap ketelusan pengurusan," kata persatuan itu dalam satu kenyataan pada Isnin.
ABMS-MY menjelaskan bahawa pengadaptasian ISO 37001:2025 dijangka menjadi pemacu utama dalam memperkukuh tadbir urus, akauntabiliti, dan etika dalam sektor awam dan swasta.
"Standard ini mampu membantu memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) serta memastikan pematuhan kepada piawaian antarabangsa," katanya.
Persatuan itu turut menegaskan komitmennya untuk membantu organisasi mengadaptasi standard ini dengan sokongan pakar dalam bidang integriti dan pematuhan.
"Kami yakin Jabatan Standard Malaysia (JSM) akan memainkan peranan utama dalam mempromosikan ISO 37001:2025 sebagai penanda aras baharu bagi perniagaan beretika serta mengukuhkan reputasi Malaysia di peringkat global," katanya lagi.
Maklumat lanjut layari www.abmsmy.org
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

