SMIDI usaha lengkapkan kemudahan sekolah

Sebahagian pelajar SMITI bergambar di bangunan yang kini dalam pembinaan dan masih memerlukan dana
Sebahagian pelajar SMITI bergambar di bangunan yang kini dalam pembinaan dan masih memerlukan dana
A
A
A

YAN - Sekolah Menengah Islam Darul Izzah (SMIDI), di sini kini giat berusaha melengkapkan kemudahan sekolah bagi memastikan keselesaan pelajar serta jemaah tempatan yang hadir menunaikan solat berjemaah di masjid.

Menurut Pengetua SMIDI, Mohammad Iqbal Abu Yaziz, antara usaha yang sedang dilaksanakan termasuklah pembinaan tandas, tempat wuduk, ruang solat, pembinaan dinding kaki lima masjid, serta pemasangan mozek di laluan tangga.

Beliau turut memaklumkan bahawa, pihak sekolah memerlukan dana bagi pemasangan sembilan unit pendingin hawa dan kipas gergasi di ruang solat masjid. Selain itu, dana juga diperlukan untuk pembinaan asrama pelajar lelaki serta penyediaan tapak gelanggang permainan bagi pelajar perempuan.

“Tanah ini telah diwakafkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Kedah, dan sekolah ini turut menempatkan pelajar dalam kalangan anak yatim serta golongan miskin,” katanya pada Isnin.

Beliau menjelaskan bahawa jumlah keseluruhan dana yang diperlukan bagi menampung projek-projek ini adalah sebanyak RM1,905,000.

Tambah Mohammad Iqbal, pembangunan yang dilaksanakan ini akan memastikan kawasan sekolah menjadi lebih selamat dan selesa, termasuk peningkatan sistem pengudaraan yang lebih baik.

“Pembinaan asrama juga amat diperlukan memandangkan kemudahan sedia ada tidak mampu menampung jumlah pelajar yang semakin bertambah.

"Selain itu, ia juga bertujuan untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif kepada pelajar,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Mohammad Iqbal bin Abu Yaziz di talian 013-4045145 atau menyumbang melalui akaun Bank Islam (02 0840 1003 5015).

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!