Pembikinan Dawn Raid dihentikan, Bront Palarae kongsi rasa

AKTOR dan pengarah terkenal, Bront Palarae melihat kemelut kewangan di negara ini pada tahun lalu telah membuatkan setiap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berhati-hati untuk melabur dalam bakat tempatan.
Ujar pemilik nama sebenar Nasrul Suhaimin Saifuddin itu, situasi itu menyumbang kepada trend bakat tempatan mencari peluang di luar negara.
"Menarik bagaimana satu kegagalan kewangan tahun lalu telah menyebabkan setiap lembaga GLC di Malaysia menjadi terlalu berhati-hati dan ragu-ragu untuk melabur dalam bakat tempatan," ujarnya.
Bront memberi ulasan sebegitu berikutan Pixel Play Entertainment dalam satu hantaran mengumumkan filem Dawn Raid tidak akan diteruskan seperti yang dirancang.
Pada 2018, Bront berhasrat mengumpul dana RM2 juta hasil sumbangan orang ramai untuk membiayai projek filem arahannya berjudul Dawn Raid.
Tambah Bront, 46, secara peribadi, Dawn Raid telah menjadi satu perjalanan pertumbuhan, pembelajaran, dan kolaborasi bermakna bersama individu-individu yang hebat.
"Saya akan membawa bersama saya pelajaran dan persahabatan itu," ungkapnya lagi.
Sementara itu, selepas lebih sedekad dalam perancangan, projek filem Dawn Raid akhirnya diumumkan tidak akan diteruskan.
Pengumuman ini dibuat oleh Pixel Play Entertainment, yang menyatakan bahawa mereka gagal mendapatkan pembiayaan yang diperlukan untuk meneruskan projek tersebut.
Menurut kenyataan rasmi, keputusan itu dibuat setelah Lembaga Pengarah SD Guthrie, yang merupakan penaja utama disasarkan, memilih untuk tidak menyediakan dana bagi filem tersebut.
Walaupun menerima sokongan daripada pelbagai pihak, termasuk Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Refinery Media (Singapura), produksi tersebut tidak dapat mencari alternatif pembiayaan yang mencukupi.
Pemilik rumah produksi Pixel Play itu berkata, dia mengambil pengajaran dan persahabatan sepanjang proses pembikinan filem Dawn Raid, sebuah filem diangkat daripada peristiwa bersejarah iaitu Guthrie Dawn Raid atau Serangan Subuh Guthrie pada 1981.
Projek ini melibatkan lebih 50 profesional dari pelbagai bidang, termasuk penyelidik, penulis skrip, pelakon, serta pereka produksi yang telah mencurahkan usaha dan kepakaran mereka bagi memastikan ketepatan fakta serta kualiti penceritaan.
Pembatalan ini pastinya menjadi kekecewaan besar kepada ramai pihak, terutamanya mereka yang menantikan filem ini sebagai satu medium untuk memahami dan menghayati strategi ekonomi Malaysia yang berjaya menyaingi kuasa besar korporat antarabangsa pada era tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

