Warga emas rugi RM562,000 diperdaya skim pelaburan tidak wujud

Seorang lelaki warga emas mengalami kerugian RM562,000 selepas diperdaya sindiket penipuan pelaburan tidak wujud dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan. Gambar hiasan.
Seorang lelaki warga emas mengalami kerugian RM562,000 selepas diperdaya sindiket penipuan pelaburan tidak wujud dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan. Gambar hiasan.
A
A
A

KLUANG - Polis mengesahkan seorang lelaki warga emas mengalami kerugian RM562,000 selepas diperdaya sindiket penipuan pelaburan tidak wujud dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima satu laporan polis berkaitan kes penipuan daripada mangsa berusia 80 tahun semalam, yang mendakwa terpedaya dengan pelaburan yang diiklankan di laman Facebook pada September tahun lepas.

"Mangsa yang kemudiannya berhubung dengan individu tidak dikenali melalui aplikasi WhatsApp dijanjikan dengan pulangan besar dan suspek mengarahkan mangsa mendaftar di laman sesawang yang diberikan bagi melihat keuntungan setelah pelaburan dibuat.

"Terpedaya dengan keuntungan berganda itu, mangsa membuat lapan transaksi menerusi tiga akaun bank berbeza bermula September 2024 hingga awal Februari tahun ini (2025),” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Bahrin berkata, sehingga hari laporan dibuat (semalam), mangsa telah memasukkan RM562,000, dan tidak pernah menerima sebarang keuntungan. Suspek juga gagal dihubungi, manakala laman sesawang itu tidak boleh diakses.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!