Mayat lelaki reput ditemui dalam tandas terbengkalai

BESUT - Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan sudah mereput di sebuah tandas terbengkalai di Bukit Keluang di sini pada Ahad.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Md Sani Md Saleh berkata, pihaknya dimaklumkan penemuan mayat lelaki dipercayai seorang orang kurang upaya (OKU) mental itu kira-kira jam 4.21 petang oleh orang awam.
"Hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai bersama mayat serta tiada sebarang unsur jenayah dikesan di lokasi penemuan mayat terbabit.
"Lokasi penemuan mayat adalah di dalam sebuah tandas terbengkalai dan terpencil. Keadaan mayat telah mereput dan dipercayai telah meninggal dunia melebihi tujuh hari," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Md Sani berkata, hasil soal siasat bersama dengan saksi memaklumkan mangsa dipercayai merupakan seorang OKU mental yang kebiasaannya berada di lokasi tersebut pada setiap hari.
"Namun lebih kurang seminggu mangsa tidak kelihatan di sekitar kawasan tersebut.
"Hasil soal siasat bersama seorang lagi saksi dipercayai abang mangsa memaklumkan adiknya tidak pulang ke rumah melebihi seminggu namun tiada sebarang laporan polis dibuat," ujarnya.
Md Sani berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
