Al-Sudais imam Masjidil Haram yang disanjungi

MAKKAH - Nama Sheikh Dr Abdul Rahman Al-Sudais atau lebih dikenali sebagai Sheikh Al-Sudais, bukanlah asing dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia.
Beliau bukan sekadar imam Masjidil Haram yang dihormati, malah kelunakan suara emasnya dalam bacaan al-Quran sering menyentuh hati jutaan jemaah.
Bagi tokoh ini, al-Quran adalah pendamping setia yang menjadi panduan hidup.
Beliau menggambarkan kitab suci itu sebagai cahaya yang membawa manusia keluar daripada sebarang permasalahan.

"Al-Quran adalah cahaya bagi hati, jalan keluar bagi kesusahan, dan penyuluh bagi kehidupan. Bacalah ia dengan penuh keikhlasan," katanya dalam satu wawancara.
Dilahirkan pada 1960 di Riyadh, Arab Saudi, Sheikh Al-Sudais menunjukkan kecenderungan mendalam dalam bidang agama sejak kecil.
Pada usia 12 tahun, beliau telah menghafal 30 juzuk al-Quran sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang syariah di Universiti Imam Muhammad bin Saud.
Beliau kemudian memperoleh ijazah sarjana dan doktor falsafah dari Universiti Umm Al-Qura, menjadikannya antara ulama yang paling dihormati dalam dunia Islam.

Pada 1984, beliau dilantik sebagai imam Masjidil Haram dalam usia yang masih muda.
Bacaan al-Qurannya yang merdu, bertajwid sempurna, serta penuh penghayatan menjadikannya antara imam yang paling dikagumi oleh umat Islam di seluruh dunia.
Selain berperanan sebagai imam, Sheikh Al-Sudais juga memegang jawatan sebagai Presiden Umum Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, bertanggungjawab dalam pengurusan serta penyelenggaraan dua masjid suci ini.
Pengalaman beliau dalam memimpin solat tarawih di Masjidil Haram selama berpuluh tahun menjadikannya antara imam paling dihormati dalam sejarah masjid suci tersebut.

Setiap tahun, jutaan jemaah dari seluruh dunia membanjiri Masjidil Haram untuk menunaikan solat tarawih di belakang beliau, khususnya pada malam-malam terakhir Ramadan.
Saat yang paling dinanti adalah ketika doa khatam al-Quran dipanjatkan, di mana suara Sheikh Al-Sudais sering mengundang rasa sebak dan mampu menitiskan air mata jemaah.
"Ketika kita berdoa di hadapan Kaabah, kita bukan sekadar memohon untuk diri sendiri, tetapi juga untuk seluruh umat Islam. Semoga ALLAH merahmati kita semua.
"Seorang Muslim yang hatinya terpaut dengan al-Quran akan sentiasa merasai ketenangan, walaupun dalam ujian yang besar," tambahnya lagi.
Selain menjadi imam, Sheikh Al-Sudais juga dikenali sebagai pendakwah yang lantang menyeru perpaduan umat Islam.
Beliau aktif mempertingkatkan kemudahan jemaah di Masjidil Haram serta terlibat dalam pelbagai program dakwah dan kebajikan di peringkat antarabangsa.
Bacaan al-Qurannya dijadikan rujukan utama oleh pelajar tahfiz serta mereka yang ingin memperbaiki tajwid dan bacaan dengan lebih sempurna.
"Siapa yang membaca al-Quran dengan hati yang ikhlas, maka ALLAH akan membukakan baginya pintu-pintu hikmah dan rahmat yang luas," ujarnaya.
Sheikh Dr Abdul Rahman Al-Sudais bukan sekadar imam biasa, tetapi seorang tokoh Islam yang berpengaruh.
Dengan suara emasnya yang merdu, pengalaman luasnya dalam memimpin solat tarawih, serta peranannya dalam menjaga dua masjid suci, beliau terus menjadi sumber inspirasi kepada umat Islam di seluruh dunia. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

