Belanja raya lebur, pegawai bank rugi RM28,112 ditipu pinjaman tidak wujud

JEMPOL- Hasrat seorang pegawai bank membuat pinjaman RM30,000 untuk kegunaan hari raya lebur, apabila terpaksa menanggung kerugian RM28,112 akibat ditipu pinjaman tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kejadian bermula pada 12 Februari lalu apabila mangsa seorang lelaki berusia 55 tahun berminat dengan iklan pinjaman wang di Facebook.
"Mangsa kemudiannya berurusan melalui WhatsApp dengan seorang ejen dan bersetuju untuk membuat pinjaman, lalu diminta membayar RM460 sebagai caj proses.
"Seterusnya, pada 26 Februari, pengadu membuat pembayaran secara dalam talian ke akaun bank. Selepas itu, dia diminta membuat beberapa lagi pembayaran dalam tempoh tiga hari menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM 28,112," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Ujarnya, pihak berkenaan meminta bayaran tambahan sebanyak RM6,000 menyebabkan pengadu merasa curiga.
"Oleh itu, pengadu membuat laporan polis kerana percaya telah ditipu dan ingin tindakan lanjut diambil.
"Siasatan kes kini dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
