APM beri rawatan kecemasan remaja hampir pitam di bazar Ramadan

IPOH - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perak memberi rawatan kecemasan terhadap seorang remaja perempuan yang hampir pitam akibat cuaca panas di bazar Ramadan Bulatan Sultan Azlan Shah (BSAS) di Meru Raya pada Ahad lalu.
Menurut Jurucakap APM Daerah Kinta, remaja berusia 14 tahun itu dikatakan mula berasa sesak nafas dan lemah ketika mengunjungi bazar bersama keluarganya sekitar jam 6.40 petang.
"Ketika kejadian, orang ramai mula memenuhi kawasan bazar terpanjang di Perak itu manakala anggota APM pula sedang melaksanakan penugasan operasi berkonsepkan rondaan di kawasan sejauh kira-kira 500 meter itu.
"Anggota kemudian membantu menenangkan mangsa dan memberi rawatan awal sehingga pulih sebelum diserahkan kepada keluarga," katanya.
Tambahnya, penugasan operasi berkonsepkan omnipresence dengan lengkap peralatan rawatan kecemasan itu dilaksanakan di bazar Ramadan sekitar di daerah Kinta.
"Objektif pelaksanaan operasi ini adalah APM dapat memberikan perkhidmatan perawatan awal dengan cepat jika berlakunya kejadian kecemasan seperti kes pengsan, pitam dan sebagainya.
"Seramai 40 anggota APM Daerah Kinta akan bertugas di bazar-bazar Ramadan terpilih sepanjang bulan ini antaranya bazar Ramadan pekarangan Stadium Perak, Angsana Mall serta Gunung Rapat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
