Pengunjung lega harga makanan di bazar Ramadan masih berpatutan

JOHOR BAHRU - Rata-rata pengunjung bazar Ramadan pada hari pertama di sini berpuas hati dengan harga juadah yang ditawarkan, meskipun berlaku kenaikan kos bahan mentah.
Tinjauan Sinar Harian di Bazar Ramadan Bandar Baru Uda mendapati orang ramai mula membanjiri kawasan tersebut seawal jam 4 petang untuk mendapatkan hidangan berbuka puasa.
Ahli farmasi, Muhamad Akmal Azman, 36, berpendapat harga yang ditawarkan masih berbaloi dan sepadan dengan kos bahan mentah di pasaran.
“Saya jarang membeli di bazar, tapi hari ini saja ingin mencuba. Bagi saya, harga juadah tahun ini masih berpatutan.
“Kita sebagai pembeli pun tidak boleh mengharapkan harga terlalu murah, apatah lagi dengan harga barang mentah yang tidak menentu sekarang,” katanya.

Sementara itu, pekerja swasta, Nur Syahadah Jumaidi, 25, berpuas hati dengan tahap kebersihan di bazar, terutama apabila peniaga memakai pakaian yang bersesuaian.
“Saya lihat ramai peniaga memakai sarung tangan dan apron. Ini satu langkah baik kerana pembeli akan lebih yakin dengan kebersihan makanan yang dijual.
“Walaupun harga bahan mentah meningkat, saya rasa harga makanan di bazar masih memadai,” ujarnya.
Bagi peniaga, Abdullah Halid Wahab, 65, syarat ketat yang dikenakan kerajaan untuk mendapatkan tapak di bazar Ramadan adalah langkah positif.
“Peraturan ini bukan sahaja memastikan kebersihan dan keselamatan makanan, tetapi juga mengelakkan penularan penyakit melalui makanan yang dijual,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

