Tradisi bubur lambuk Masjid Jamek, Taman Universiti kembali meriahkan Ramadan

JOHOR BAHRU - Mulai Isnin, orang ramai khususnya penduduk di sekitar kawasan Taman Universiti, Skudai di sini berpeluang menikmati juadah bubur lambuk yang disediakan oleh pihak Masjid Jamek Tan Sri Ainuddin Wahid.
Tinjauan Sinar Harian ke masjid berkenaan mendapati segala persiapan termasuk sembilan periuk besar sudah disediakan bagi memudahkan kerja-kerja memasak.
Ketua tukang masaknya, Nasir Ahmad, 72, berkata, kebiasaannya seramai 10 individu melibatkan ahli jawatankuasa masjid atau penduduk sekitar terlibat dalam proses memasak bubur lambuk berkenaan.
Katanya, kerja-kerja memasak bubur lambuk itu akan bermula sekitar jam 8 pagi sehingga hampir ke waktu Zohor, sebelum tugas-tugas pembungkusan dibuat untuk edaran kepada orang ramai selepas solat Asar.

“Seperti tahun-tahun sebelumnya, masjid ini akan menyediakan masakan bubur lambuk kepada orang ramai, sama ada kariah masjid atau pun orang ramai yang singgah ke sini.
“Tahun lepas, kita telah memasak sebanyak 85 periuk bubur lambuk untuk diagih-agihkan kepada orang ramai setiap hari hinggalah puasa ke-27. Tahun ini rasanya dalam kuantiti yang sama juga atau mungkin ada pertambahan.
“Bagaimanapun, esok (Isnin), kita akan mula memasak dengan dua periuk besar dahulu dan akan meningkat sehinggalah kita gunakan kesemua sembilan periuk besar yang ada,” katanya.
Tambah Nasir, tiada resipi khas yang digunakan untuk memasak bubur lambuk tersebut melainkan bahan-bahan seperti rempah ratus, daging, santan, bawang dan lain-lain.
Malah katanya, dia juga tidak mempunyai latar belakang dalam bidang masakan, hanya minat selain memahami sukatan yang diperlukan bagi setiap bahan yang dimasak.
“Resipi memasak bubur lambuk ni tidak ada apa-apa yang istimewa, seperti biasa sahaja seperti bubur lambuk di tempat-tempat lain.

“Cuma di masjid ini, kami tidak menggunakan penambah perasa, bagi mengekalkan keaslian rasa bubur yang dimasak,” katanya.
Difahamkan, masjid berkenaan juga seringkali menjadi tumpuan bagi beberapa agensi termasuk institusi pengajian tinggi yang mahu sama-sama memasak bubur lambuk dan diagihkan kepada orang ramai.
Malah difahamkan, ada sebuah stesen minyak berhampiran yang menginfak satu periuk besar bubur lambuk setiap hari setiap kali tibanya Ramadan.
Sementara itu, Nasir berharap agar tradisi gotong-royong memasak bubur lambuk itu dapat diteruskan oleh generasi muda, supaya warisan masakan Ramadan ini tidak hilang ditelan masa.
“Saya berharap anak-anak muda turut sama belajar cara memasak bubur lambuk ini. Jangan sekadar tahu ambil, tapi tak tahu bagaimana prosesnya di dapur.

“Kalau generasi lama seperti kami sudah tiada, siapa lagi yang akan meneruskan tradisi ini?” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
