Dapat basikal sebab solat Subuh

Muhammad Zakir (kiri), Muhammad Aiman Khaiyiza (tengah) dan Muhammad Ukail Uwais (kanan) menerima hadiah basikal selepas istiqamah menunaikan solat Subuh berjemaah selama 40 hari berturut-turut.
Muhammad Zakir (kiri), Muhammad Aiman Khaiyiza (tengah) dan Muhammad Ukail Uwais (kanan) menerima hadiah basikal selepas istiqamah menunaikan solat Subuh berjemaah selama 40 hari berturut-turut.
A
A
A

KEMAMAN - Berkat istiqamah menunaikan solat Subuh berjemaah selama 40 hari berturut-turut, dua remaja dan seorang kanak-kanak lelaki menerima hadiah basikal setiap seorang menerusi program ‘King Of Subuh Warrior’ anjuran Masjid Titian Berayun, Kijal, di sini.

Mereka yang berjaya memenangi hadiah itu ialah Muhammad Aiman Khaiyiza Mohammad Khairul Azan, 13; Muhammad Ukail Uwais Mohd Khairuddin, 13; dan Muhammad Zakir Hadi Mohd, 9.

Selain menerima sebuah basikal, mereka turut dianugerahkan sijil penghargaan, hamper, piala, dan baucar penginapan sebagai ganjaran atas komitmen luar biasa mereka.

Mohd Redzuan (kiri) bersama bapa dan kanak-kanak yang turut memenangi hadiah pada program tersebut.
Mohd Redzuan (kiri) bersama bapa dan kanak-kanak yang turut memenangi hadiah pada program tersebut.

Menurut seorang pemenang, Muhammad Zakir Hadi, penyertaannya dalam program itu bukan semata-mata untuk mendapatkan hadiah, namun untuk menanam rasa cinta terhadap masjid dan solat berjemaah yang dipupuk ibu bapanya sejak kecil.

"Saya memang suka ke masjid ikut ayah. Walaupun keluarga ada urusan di Kuala Lumpur, saya tetap tinggal di Kemaman dengan ahli keluarga lain supaya boleh terus solat Subuh berjemaah.

"Terima kasih kepada pengurusan masjid dan ibu bapa saya yang setiap hari bawa saya ke masjid,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian hadiah, di sini pada Sabtu.

Pengarah Program, Wan Mohd Redzuan Mohd Kamar berkata, sambutan luar biasa terhadap program ini membuktikan kanak-kanak boleh dilatih untuk mencintai ibadah sejak kecil.

Sebahagian kanak-kanak yang turut mengimarahkan program solat Subuh berjemaah di Masjid Titian Berayun, Kijal, di Kemaman.
Sebahagian kanak-kanak yang turut mengimarahkan program solat Subuh berjemaah di Masjid Titian Berayun, Kijal, di Kemaman.

Artikel Berkaitan:

Katanya, peserta lain yang berjaya mengekalkan solat Subuh berjemaah selama 30, 20 dan 10 hari turut menerima pelbagai hadiah menarik sebagai galakan untuk terus beristiqamah.

“Hadiah basikal ini bukan sekadar ganjaran tetapi juga simbolik kepada usaha gigih peserta.

“Semoga program ini dapat diteruskan setiap tahun dalam membentuk generasi yang cintakan solat berjemaah dan masjid,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!