Pamer aksi luar biasa di Seluruh England

Aaron Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik antara tujuh pasangan negara yang layak beraksi di Seluruh England. Foto Agensi
Aaron Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik antara tujuh pasangan negara yang layak beraksi di Seluruh England. Foto Agensi
A
A
A

BEREGU lelaki negara perlu turun dengan semangat membara untuk mengakhiri kemarau kejuaraan Seluruh England selama 18 tahun yang kali terakhir dimenangi pasangan, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada 2007.

Malah, tujuh pasangan negara yang layak beraksi pada kejohanan bermula 11 hingga 16 Mac itu juga wajib beraksi pada tahap optimum menerusi aksi yang luar biasa.

Juara kejohanan berprestij itu, Kien Keat berkata, para pemain wajar memperagakan mentaliti yang betul dan keinginan juara yang tinggi untuk memastikan sasaran gelaran dapat direalisasikan pada edisi ini.

Kien Keat berharap para pemain berjuang bersungguh-sungguh dan komited ketika di gelanggang kerana mereka membawa nama negara dan kejohanan tersebut merupakan satu pentas besar buat atlet badminton dunia. Foto FB Koo Kien Keat
Kien Keat berharap para pemain berjuang bersungguh-sungguh dan komited ketika di gelanggang kerana mereka membawa nama negara dan kejohanan tersebut merupakan satu pentas besar buat atlet badminton dunia. Foto FB Koo Kien Keat

Beliau turut melihat peluang untuk merangkul kejuaraan adalah cerah berdasarkan prestasi semasa gandingan negara menerusi gelaran juara serta beraksi di pentas final pada kejohanan lalu.

“Mereka perlu turun dengan minda yang betul. Berasa lapar untuk menang (raih gelaran). Kita juga mempunyai kelebihan kerana beregu yang diturunkan sudah lama bersama.

“Ia bukan pasangan pecah ganding seperti beregu China dan Korea Selatan yang dilihat masih belum stabil. Jadi kesempatan ini perlu direbut dengan baik oleh gandingan negara,” katanya kepada Sukan Sinar.

Wakil Malaysia kali ini terdiri daripada empat pasangan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King dan Chong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri.

Artikel Berkaitan:

Tiga lagi daripada wakil profesional iaitu pasangan nombor dua dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong.

Kien Keat juga berharap para pemain berjuang bersungguh-sungguh dan komited ketika di gelanggang kerana mereka membawa nama negara dan kejohanan tersebut merupakan satu pentas besar buat atlet badminton dunia.

“Sematkan di dalam hati mahu menang Seluruh England seperti ingin dapat pingat emas Sukan Olimpik. Ia penting sebagai rekod dan pencapaian peribadi. 'Aku pernah menang Seluruh England'.

“Siapa mahu kalah. Semua pemain dari seluruh dunia mahu menjuarai kejohanan berprestij ini,” katanya.

Justeru tambah beliau, terserah kepada jurulatih dan para pemain untuk mencorakkan permainan mereka agar musim 2025 terlakar satu lagi sejarah buat Malaysia.

“Saya tidak mahu ulas strategi permainan. Ia terpulang kepada jurulatih dan pemain. Apa yang penting fokus dan beri yang terbaik buat negara,” ujar Kien Keat.

Malaysia juga pernah menjuarai Seluruh England menerusi pasangan adik beradik, Datuk Seri Jalani dan Datuk Razif Sidek pada 1982.

Pada edisi lalu, Aaron-Wooi Yik hampir mengungguli acara beregu lelaki, namun terpaksa akur tewas kepada pasangan Indonesia, Fajar Alfian dan Muhammad Rian Ardianto pada aksi final untuk berpuas hati dengan gelaran naib juara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!