Anwar, Kerajaan Madani berjaya kembalikan kestabilan politik - Madani Research

SHAH ALAM - Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perlu diberi ruang dan masa untuk melaksanakan tugas dalam usaha merancakkan ekonomi serta memastikan kestabilan politik negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Madani Research Centre, Mohd Azmi Mat Nayan berkata, pihak luar tidak seharusnya mengganggu keadaan ini dengan permainan politik yang tidak berfaedah semata-mata demi memperoleh kuasa.
"Tunggulah Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang pada 2027 atau 2028 dan bertandinglah secara sihat.
"Sementara itu, jangan ganggu usaha baik Perdana Menteri demi kepentingan negara serta rakyat Malaysia.
"Mereka yang berminat telah diberikan peluang sebelum ini, namun gagal memanfaatkannya dengan baik," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau berpandangan bahawa kepimpinan Anwar berjaya mengembalikan kestabilan politik negara melalui penubuhan Kerajaan Perpaduan yang bersifat inklusif dan diwakili semua kaum, agama serta wilayah di Malaysia.
Malah katanya, dengan dukungan kukuh di Dewan Rakyat serta rakyat, Ahli Parlimen Tambun itu berjaya melepasi cabaran politik dan memimpin dalam tempoh paling lama berbanding tiga pendahulunya sejak Mei 2018.
"Kestabilan politik amat penting kerana tanpanya, proses perancangan serta pelaksanaan penambahbaikan sosioekonomi negara tidak mungkin dapat dicapai.
"Ia juga menjadi batu loncatan bagi mencipta landskap nasional yang kondusif, sekali gus membolehkan setiap rakyat Malaysia memenuhi potensi masing-masing.
"Malah, kestabilan ini penting bagi memastikan pengusaha dan peniaga di sektor swasta, selaku enjin pertumbuhan nasional, dapat menjana kekayaan yang lebih besar. Dengan itu, kerajaan dapat memanfaatkan hasil kutipan cukai untuk meningkatkan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
