Dividen kukuh KWSP bukti kepimpinan Kerajaan Madani di landasan betul - Kor Ming

KUALA LUMPUR - Dividen kukuh yang diumumkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada Sabtu menunjukkan bahawa Malaysia di bawah Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di landasan yang betul, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Dalam memuji prestasi cemerlang KWSP, Kor Ming berkata, kestabilan politik yang dipupuk oleh Kerajaan Madani memainkan peranan penting dalam memulihkan keyakinan ramai terhadap daya tahan ekonomi Malaysia.
Beliau turut merujuk pertumbuhan ekonomi Malaysia 5.10 peratus pada 2024, yang dianggapnya sebagai bukti pembangunan yang cukup memberangsangkan.
"Sejak Kerajaan Madani mengambil alih pentadbiran negara, usaha untuk mengukuhkan ekonomi negara telah menjadi keutamaan, dengan matlamat utama untuk meningkatkan kesejahteraan semua rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau menyifatkan pulangan memberangsangkan yang diisytihar KWSP hari ini, sebagai pengiktirafan terhadap dasar-dasar dan komitmen kerajaan, serta dedikasi yang tidak berbelah bahagi untuk memastikan kesejahteraan terus dinikmati menerusi dasar-dasar yang mengutamakan kestabilan ekonomi jangka panjang.
Kor Ming berkata, ini termasuk inisiatif seperti program pemilikan rumah yang diterajui oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk membantu pembeli rumah kali pertama mencapai impian memiliki rumah, yang menyaksikan pemilikan rumah Malaysia meningkat kepada 76.9 peratus.
Lembaga KWSP pada Sabtu mengumumkan kadar dividen masing-masing 6.30 peratus bagi Simpanan Konvensional dengan jumlah agihan RM63.05 bilion, serta 6.30 peratus untuk Simpanan Shariah yang melibatkan jumlah agihan RM10.19 bilion. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
