Umpan udang hidup disambar pari, kelindan lori menang RM20,000

Amir (dua dari kanan) bersama para pemenang pertandingan Kembara Pancing Melaka di Pantai Tambak Klebang Ahad lalu.
Amir (dua dari kanan) bersama para pemenang pertandingan Kembara Pancing Melaka di Pantai Tambak Klebang Ahad lalu.
A
A
A

MELAKA - Istilah ‘lawan tetap lawan’ yang sentiasa terbuku di dada Zulazri Rasmat, 27, dari Tangkak, Johor membawa tuah apabila dia muncul juara Kembara Pancing Melaka di sini Ahad lalu.

Zulazri yang bekerja sebagai kelindan lori menguatkan semangat menyertai acara itu, meskipun hujan lebat ketika sesi pendaftaran pada Sabtu, manakala di awal pagi pertandingan pula, hujan gerimis di Pantai Tambak Klebang.

Namun berkat kegigihan, dia berjaya menaikkan ikan pari 4.33 kilogram (kg), sekali gus menewaskan lebih 600 peserta lain dan membawa pulang RM20,000.

“Alhamdulillah berkat tabah, gigih dan tidak mengaku kalah dengan cuaca sejuk pada waktu pagi dan panas terik pada tengah hari, umpan udang hidup yang saya gunakan disambar pari,’’ katanya.

Sebahagian daripada peserta yang menyertai Kembara Pancing Melaka.
Sebahagian daripada peserta yang menyertai Kembara Pancing Melaka.

Tempat kedua pula disandang pemancing dari Indonesia, Syafri Tande, 55, yang menaikkan ikan buntal seberat 1.855kg.

Tempat ketiga dimenangi pengawal masjid, Shamsul Hatta Kamal Afandi, 43, dari Klang, Selangor yang menaikan ikan gemang 1.075kg.

Dengan kemenangan itu, Syafri Tande membawa pulang RM4,000 manakala Shamsul Hatta berpuas hati dengan RM2,000.

Hadiah kepada kesemua pemenang disampaikan oleh Pengarah Joran Unggul Event Management, Amir Ali Mohamad.

Artikel Berkaitan:

Menurut Amir, pertandingan itu diadakan bagi menyokong kempen Cuti-Cuti Malaysia yang dipelopori Tourism Malaysia.

“Pertandingan ini menarik minat peserta dari Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Melaka, Selangor, Kuala Lumpur dan Perak, sekali gus membuktikan bahawa acara memancing mampu menggerakkan industri pelancongan domestik,’’ katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!