Perjim lancar ‘Madani Meals’ bantu golongan memerlukan

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Jaringan Insan Madani (Perjim) dengan kerjasama YoloFoods, melancarkan inisiatif ‘Madani Meals’ untuk membantu golongan kurang berkemampuan di Lembah Klang.
Pengerusi Perjim, Aidi Amin Yazid berkata, kerjasama yang bermula dilancarkan bermula Januari lalu akan mengagihkan 200 bungkusan bantuan makanan setiap bulan kepada mereka yang memerlukan.
“Ini merupakan salah satu usaha Perjim bergabung dengan syarikat swasta untuk menjalankan tanggungjawab sosial untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini.
“Kita sudah mengenal pasti golongan sasaran untuk menerima bantuan ini di sekitar Lembah Klang,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Jelasnya, melalui program ini, setiap pesanan pelanggan YoloFoods akan disumbangkan sebagai satu ‘Madani Meal’ kepada individu dan keluarga miskin, dengan pengagihan dikendalikan oleh Perjim.

"Kami sangat menghargai kesungguhan YoloFoods dalam memastikan makanan sihat dapat diakses oleh mereka yang kurang bernasib baik.
Program ini bukan sahaja membantu dari segi keperluan asas, tetapi juga meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemakanan seimbang," katanya.
Sementara itu Ketua Jualan & Pembangunan Perniagaan YoloFoods, Lim Sheng Feixiang berkata, inisiatif itu membolehkan pelanggan mereka menyumbang secara langsung kepada usaha kebajikan.
"Kami percaya setiap individu berhak menikmati makanan sihat. Dengan pelancaran 'Madani Meals', pelanggan bukan sahaja mendapat hidangan berkualiti tetapi juga membantu golongan memerlukan," katanya.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai inisiatif ini boleh melayari laman web rasmi YoloFoods di https://yolofoods.my/ atau PERJIM di https://insanmadani.my/.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

