Penggali kubur temui mayat rentung dalam pacuan empat roda terbakar

Satu rangka manusia rentung ditemui dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda yang hangus terbakar di kawasan tanah perkuburan di Batu 3, Jalan Yong Peng, Ayer Hitam Batu Pahat. - Foto: IPD Batu Pahat.
Satu rangka manusia rentung ditemui dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda yang hangus terbakar di kawasan tanah perkuburan di Batu 3, Jalan Yong Peng, Ayer Hitam Batu Pahat. - Foto: IPD Batu Pahat.
A
A
A

BATU PAHAT - Satu rangka manusia rentung ditemui dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda yang hangus terbakar di kawasan tanah perkuburan di Batu 3, Jalan Yong Peng, Ayer Hitam di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, penemuan itu dilaporkan kepada pihak polis oleh seorang penggali kubur tempatan berusia 45 tahun pada jam 1 tengah hari.

“Hasil siasatan awal oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Batu Pahat bersama Pasukan Siasatan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor dan Balai Polis Ayer Hitam mendapati kenderaan jenis pikap 4X4 itu terbakar sepenuhnya.

“Di dalamnya turut ditemukan satu rangka manusia yang juga telah rentung sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat

Menurut beliau, pakar patologi forensik dari Hospital Kluang bersama pihak polis pada Jumaat telah melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian sebelum membawa mayat ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk bedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati mayat terbakar 100 peratus dengan punca kematian dikenal pasti sebagai ‘Severe Burn-Charred Body’,” ujarnya.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), namun pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian terbabit.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!