Penunggang motosikal maut langgar pacuan empat roda berhenti di lampu isyarat

Bahagian belakang kiri pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang remuk akibat dilanggar.
Bahagian belakang kiri pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang remuk akibat dilanggar.
A
A
A

PASIR GUDANG – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda yang berhenti di lampu isyarat di Jalan Kota, Taman Kota Puteri, di sini, pada malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.45 malam itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha MT-15 dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang kiri pacuan empat roda Mitsubishi Triton.

“Siasatan awal mendapati pacuan empat roda itu dipandu seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun yang dalam perjalanan dari Permas Jaya menghala ke Bandar Seri Alam.

“Setibanya di lokasi kejadian, pemandu tersebut berhenti di lorong kanan kerana lampu isyarat berwarna merah. Tidak lama kemudian, mangsa yang datang dari arah sama gagal mengawal motosikal lalu melanggar bahagian belakang kenderaan itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, akibat pelanggaran tersebut, penunggang motosikal berusia 43 tahun itu mengalami kecederaan parah di kepala dan dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail untuk menerima rawatan.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2.30 petang keesokan harinya ketika mendapatkan rawatan.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!