#KaburAjaDulu simbol kekecewaan anak muda

#KaburAjaDulu menzahirkan hasrat dan seruan golongan muda Indonesia merantau ke luar negara bagi mencari kualiti hidup yang lebih baik.
#KaburAjaDulu menzahirkan hasrat dan seruan golongan muda Indonesia merantau ke luar negara bagi mencari kualiti hidup yang lebih baik.
A
A
A

MULA muncul di platform X pada 2023, tanda pagar #KaburAjaDulu yang menzahirkan hasrat dan seruan golongan muda Indonesia merantau ke luar negara bagi mencari kualiti hidup yang lebih baik, kini kembali tular.

Terkini, tanda pagar #KaburAjaDulu itu turut disertai tanda pagar #IndonesiaGelap dan dilaporkan sebagai representasi dan ekspresi terutama dalam kalangan generasi muda yang pesimis terhadap kepincangan ekonomi, politik dan sosial di Indonesia yang dikatakan tidak prorakyat.

Menjengah ke laman media sosial Indonesia, kebanyakan komen warganet yang menyokong intipati #KaburAjaDulu mengakui kesukaran mencari kerja, gaji kecil dan biaya hidup tinggi sebagai antara punca utama sentimen ini tercetus.

Melihat daripada satu sisi, #KaburAjaDulu mungkin menimbulkan persepsi rakyat Indonesia tidak mempunyai semangat nasionalisme kerana lebih memilih untuk bekerja, melanjutkan pendidikan atau mencari kehidupan lebih baik di negara orang.

Tidak ketinggalan, #KaburAjaDulu juga mampu mencetuskan situasi brain drain dalam kalangan penyokongnya yang sebahagian besar terdiri daripada anak muda berusia antara 19 hingga 30 tahun.

Brain drain merujuk kepada migrasi golongan terpelajar atau berkemahiran tinggi ke luar negara sekali gus boleh menjejaskan kemampuan mengembangkan ekonomi, berinovasi, dan bersaing di peringkat global.

Malah menurut Menteri Ketenagakerjaan Indonesia, Yassierli, fenomena #KaburAjaDulu ini seharusnya dianggap sebagai cabaran kepada pihak pemerintah dalam mewujudkan lebih banyak peluang kerja berkualiti di dalam negeri.

Justeru, bagi mengatasi kemelut ini, sewajarnya kerajaan Indonesia bertindak lebih proaktif dalam menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan di pelbagai bidang, menstabilkan politik dan membina persekitaran kondusif untuk inovasi dan keusahawanan.

Dalam pada itu, melihat dari sudut Malaysia, tidak mustahil #KaburAjaDulu turut boleh memberi kesan kepada negara seperti peningkatan migrasi terdiri daripada pelbagai golongan dan lapisan pekerja dari Indonesia.

Artikel Berkaitan:

Hal ini kerana secara relatifnya, ekonomi negara adalah lebih kukuh berbanding negara jiran, lanskap politik juga agak stabil selain telah lama menjadi destinasi pilihan pekerja asing dari pelbagai negara untuk mencari kerja.

Tidak dinafikan, jika rakyat dari negara seberang memilih untuk #KaburAjaDulu ke Malaysia, ia antara lain boleh menyumbang kepada peningkatan kemahiran dan kepakaran dalam sektor-sektor tertentu.

Ini bermakna dengan sokongan tenaga kerja dari Indonesia, negara boleh meningkatkan produktiviti domestik serta terus berkembang pesat dalam pelbagai aspek.

Namun harus diingat, sekiranya berlaku peningkatan migrasi secara meluas dan tidak terkawal, ia dikhuatiri boleh menjurus kepada permasalahan antaranya berkaitan persaingan tenaga kerja, integrasi sosial dan dinamika ekonomi serantau.

Pada masa sama, Malaysia juga perlu ambil iktibar daripada apa yang berlaku di Indonesia pada ketika ini, walaupun mungkin situasi ini tidak separah di negara jiran namun negara juga sebenarnya telah kehilangan ramai tenaga kerja yang memilih untuk cari rezeki di negara orang.

Mengambil contoh Kajian Diaspora Malaysia di Brunei pada 2023 dan Kajian Perlindungan Keselamatan Sosial Rakyat Malaysia Bekerja di Luar Negara: Singapura pada 2022, mendapati rakyat Malaysia memilih bekerja di dua negara tersebut kerana peluang pekerjaan, persekitaran kerja yang baik, gaji lumayan serta kadar pertukaran mata wang yang tinggi.

Sehubungan itu, menjadi tanggungjawab dan prioriti semua pihak untuk menjaga rapi situasi ekonomi dan suhu politik di Malaysia supaya dapat menjana peluang kerja berkualiti, gaji lebih tinggi, pertumbuhan karier dan standard hidup lebih baik.

Jangan sampai #KaburAjaDulu turut berlaku di negara ini.

Liza Mokhtar ialah wartawan Bisnes

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!