Latihan MISI diperakui IDT Australia

SHAH ALAM - Malaysian Indian Skills Initiative (MISI) terus memperkasa bakat komuniti India tempatan menerusi Program Kecekapan Penyelenggaraan dan Pembaikan Dron.
HRD Corp dalam satu kenyataan berkata, program itu bertujuan merapatkan jurang industri selain mempersiapkan peserta peluang untuk menjana pendapatan dalam sektor dron yang semakin berkembang pesat.
Menurutnya, sambutan yang diterima sangat menggalakkan sekali gus permintaan terhadap program itu meningkat.
Tambahnya, inisiatif di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Human Resource Development Corporation (HRD Corp), telah berjaya menarik lebih 6,000 peserta untuk mendaftar dalam kecerdasan buatan (AI), pertanian pintar dan teknologi dron sejajar keperluan industri terhadap tenaga mahir.
“Industri dron yang semakin berkembang pesat dalam sektor pembinaan, pertanian, infrastruktur dan perlombongan mampu untuk mengakses peluang pekerjaan lebih baik, berpendapatan lebih tinggi di samping mempunyai peningkatan kerjaya secara meluas.
“Program ini diadakan selama lima hari bermula dari 16 hingga 20 Februari 2025 di Institut Latihan Perindustrian Perai, Perai, Pulau Pinang.
“Latihan selama lima hari (40 jam), yang diperakui oleh The Institute of Drone Technology (IDT), Australia, memberi peserta pengalaman secara langsung dalam pembaikan, penyelenggaraan dan operasi dron autonomi, memastikan mereka memenuhi piawaian keselamatan industri global,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Mengulas lanjut, menurut HRD Corp, program itu bukan sahaja melatih peserta dalam penyelenggaraan dan pembaikan dron tetapi juga membekalkan mereka dengan pengetahuan penting mengenai operasi dron autonomi.
Jelasnya, impak MISI melangkaui aspek pekerjaan, merangkumi keusahawanan, pembelajaran sepanjang hayat serta kemajuan kerjaya, memastikan kejayaan jangka panjang bagi masyarakat India Malaysia.
Inisiatif ini sejajar dengan matlamat MISI untuk memperkasa masyarakat India Malaysia melalui pembangunan kemahiran, pembelajaran sepanjang hayat, dan peluang pekerjaan.
“Kami mahu memastikan mereka sentiasa berada di hadapan dalam landskap teknologi yang semakin berkembang.
“Terdapat lebih banyak sesi latihan dron dan program khusus industri yang akan datang termasuk Latihan Solekan Kesan Khas Profesional (VFX) untuk Filem dan Televisyen,teknologi Internet kebendaan (IoT) serta pelbagai peluang latihan menarik lain untuk melengkapkan bakat dengan kemahiran berdaya saing,” ujarnya.
Sementara itu, peserta, R Narrendra, 20, berkata, inisiatif tersebut mampu memperkasakan tenaga kerja untuk berada di barisan hadapan inovasi negara.
"Teknologi dron sedang membentuk masa depan pelbagai industri dan dengan penggunaan dron yang meluas dalam sektor pertanian serta perkhidmatan pemantauan, pensijilan ini memberi saya kelebihan daya saing dalam mendapatkan pekerjaan,” katanya.
Bagi K Nalan, 20, memberitahu, program berkenaan membuka peluang baharu untuk meneroka pekerjaan dalam sektor teknologi.
“Saya sangat teruja dengan peluang ini. Terima kasih Kerajaan Madani,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
