Pendawaian uzur antara punca kes kebakaran arus elektrik meningkat

MELAKA - Kebakaran berpunca daripada arus elektrik menjadi penyumbang utama sumber nyalaan tertinggi merekodkan sebanyak 374 kes daripada 596 kes kebakaran yang disiasat sepanjang tahun lalu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Pisar Aziz berkata, daripada jumlah itu 488 kes kebakaran yang disiasat disebabkan kebakaran struktur manakala 108 kes disebabkan kebakaran kenderaan.
Menurutnya, kebakaran rumah kediaman juga merupakan penyumbang terbesar, dengan jumlah 191 kes atau 39 peratus daripada keseluruhan kebakaran struktur.
"Selain itu sebanyak 475 atau 97 peratus kes berpunca daripada kemalangan manakala 13 atau tiga peratus kes sengaja dibakar.
"Terdapat dua pecahan punca kebakaran disebabkan elektrik iaitu kegagalan peralatan dan sistem pendawaian lama atau tidak kemas," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar Majlis Perbarisan Tahunan 2025 JBPM Melaka di Bukit Katil di sini, pada Khamis.
Tambahnya, turut direkodkan 365 kes disebabkan pemanasan rintangan yang berpunca daripada pendawaian yang telah uzur.
Ujarnya, lebih membimbangkan, sebahagian besar kes itu berkaitan dengan 'Resistance Heating' yang berpunca daripada pendawaian uzur dan tidak sempurna.
"Orang ramai boleh merujuk dengan pihak berwajib atau pakar untuk menilai sistem pendawaian elektrik tersebut.
"Masyarakat juga perlu lebih cakna keadaan pendawaian di premis atau di rumah masing-masing bagi mengelakkan kejadian tidak diingini pada masa depan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

