Peniaga Bazar Ramadan Rahmah nikmati subsidi sewa tapak

Fuziah memantau harga bawang merah selepas merasmikan pembukaan sebuah pasar raya di Indera Mahkota, Kuantan pada Khamis. Foto Sinar Harian.
Fuziah memantau harga bawang merah selepas merasmikan pembukaan sebuah pasar raya di Indera Mahkota, Kuantan pada Khamis. Foto Sinar Harian.
A
A
A

KUANTAN – Peniaga makanan di Bazar Ramadan Rahmah bakal menikmati subsidi sewa tapak bagi mengurangkan kos perniagaan mereka.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Dr Fuziah Salleh berkata, pendekatan tersebut merupakan inisiatif kementerian melibatkan 95 lokasi di seluruh negara.

Menurutnya, usaha itu bertujuan menggalakkan lebih ramai peniaga menawarkan Menu Rahmah kepada pelanggan mereka.

"Kalau dulu kita tetapkan 30 peratus gerai menjual Menu Rahmah, mungkin kali ini peniaga boleh menjual pelbagai jenis Menu Rahmah di gerai mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan sebuah pasar raya di Indera Mahkota di sini pada Khamis.

Turut hadir, Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin.

Fuziah berkata, tahun ini kerajaan memperkenalkan gerai khas Menu Rahmah bagi menawarkan pelbagai juadah pada harga mampu milik.

Tambahnya, inisiatif tersebut bukan sahaja membantu meringankan beban keluarga, malah turut menggembirakan anak-anak kecil yang sedang belajar berpuasa.

“Kita faham pada bulan Ramadan, ramai ibu bapa membawa anak-anak ke bazar. Kadang-kadang, anak-anak ingin mencuba pelbagai jenis makanan dan ini boleh memberi tekanan kepada ibu bapa dari segi perbelanjaan.

Artikel Berkaitan:

“Dengan adanya gerai khas Menu Rahmah, mereka tidak perlu bersusah payah mencari makanan murah. Di satu tempat sahaja mereka boleh mendapatkan pelbagai pilihan seperti nasi campur, kuih-muih dan hidangan lain pada harga berpatutan,” katanya.

Selain itu, Fuziah berkata, program My Safe Food juga diteruskan bagi menyelamatkan makanan lebihan, sekali gus mengelakkan pembaziran pada Ramadan.

Menurutnya, makanan yang masih elok akan dikumpulkan antara 15 hingga 30 minit sebelum azan Maghrib dan diagihkan kepada keluarga yang memerlukan atau pelajar.

“Inisiatif ini bukan sahaja membantu peniaga dan pengguna malah turut mengurangkan pembaziran makanan, selari dengan konsep Rahmah dalam pelbagai aspek kehidupan sepanjang Ramadan,” katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!