10 premis judi tumpas, bekalan elektrik diputuskan

KUANTAN – Tindakan 10 premis perjudian yang berselindung di sebalik perniagaan sah terbongkar susulan serbuan polis bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, operasi ini melibatkan dua pegawai kanan polis, lapan pegawai rendah polis serta lima kakitangan TNB, yang menyasarkan beberapa kawasan panas di sekitar Kuantan.
“Kawasan yang terlibat dalam operasi ini termasuk bandar Kuantan, Semambu, Kampung Padang, Bukit Setongkol dan Jaya Gading.
“Premis-premis ini berselindung dengan menjalankan perniagaan seperti menjual barangan runcit dan peralatan komunikasi, tetapi sebenarnya terlibat dalam aktiviti perjudian secara tersembunyi,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Operasi ini dijalankan mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Pindaan 2001) dengan kerjasama Unit Operasi TNB.
Wan Mohd Zahari menegaskan bahawa pemotongan bekalan elektrik ini adalah langkah drastik bagi memastikan premis berkenaan tidak kembali menjalankan aktiviti perjudian selepas tindakan diambil.
“Langkah ini juga bagi mengelakkan sindiket perjudian daripada beroperasi semula selepas serbuan dilakukan,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, beliau mendedahkan bahawa sebanyak 134 kertas siasatan berkaitan aktiviti perjudian telah dibuka sepanjang tahun lalu, dengan 84 kes sudah didakwa di mahkamah.
“Untuk rekod, pada tahun 2024, pihak kami telah mengemukakan 35 permohonan untuk pemotongan bekalan elektrik, dan setakat ini, 13 premis telah mendapat kelulusan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti yang menyalahi undang-undang agar segera melaporkannya kepada mana-mana balai polis berdekatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

