Konflik Myanmar perlu diselesaikan secara diplomasi

GEORGE TOWN - Penyelesaian konflik berterusan di Myanmar menjadi antara perkara yang akan diputuskan oleh ketua-ketua kerajaan ASEAN.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ASEAN berperanan untuk menangani situasi keselamatan di Myanmar dan diselesaikan melalui saluran diplomasi dan rundingan.
"Saya berpendapat bahawa bagi Myanmar, penyelesaiannya bukan melalui ketenteraan atau pertahanan.
“Ia adalah melalui diplomasi dan rundingan," katanya dalamk sidang akhbar selepas sesi Pemukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM Retreat) di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai peranan ASEAN dalam menangani situasi keselamatan di Myanmar.
Mohamed Khaled menambah, beliau percaya isu tersebut merupakan antara tumpuan utama ketua-ketua kerajaan ASEAN dalam mencari jalan penyelesaian.
“Dalam hal ini, kita harus jelas. Walaupun ia sangat penting, kami percaya bahawa kami perlu berpandukan kepada keputusan ketua-ketua kerajaan dalam usaha menyelesaikan isu Myanmar,” tambahnya.
Baru-baru ini Malaysia dilaporkan tetap teguh dalam komitmennya untuk menangani krisis yang berterusan di Myanmar termasuk usaha membanteras pemerdagangan manusia bagi memulihkan keamanan dan melindungi masa depan rakyat negara itu.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, situasi di Myanmar menjadi topik utama dalam Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM Retreat) di Langkawi bulan lalu, dengan perbincangan memberi tumpuan kepada gesaan supaya semua pihak yang bertelagah menghentikan permusuhan serta-merta.
Kata Mohamad, walaupun ASEAN berpegang pada prinsip tidak campur tangan, krisis di Myanmar telah melangkaui sempadan.
Jelas Mohamad lagi, ia telah menjadi kebimbangan antarabangsa yang melibatkan pemerdagangan manusia, penipuan dalam talian, jenayah siber dan aktiviti berkaitan dadah yang semuanya menimbulkan cabaran besar kepada negara jiran termasuk Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

