Penolong jurutera universiti awam salah guna kuasa direman 7 hari

JOHOR BAHRU – Seorang penolong jurutera sebuah universiti awam di negeri ini direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes kerana dipercayai menyalahgunakan kuasa dalam sebuah projek binaan menaiktaraf infrastruktur institusi berkenaan.
Perintah reman sehingga 3 Mac depan itu dikeluarkan oleh Majistret Nur Fatin Mohamad Farid di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Selasa selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Permohonan reman itu susulan Ops Steel yang dilaksanakan SPRM bagi menyiasat suspek mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Sumber SPRM Johor dilaporkan berkata, suspek lelaki berusia 44 tahun itu ditahan kira-kira jam 7 petang Isnin di Pejabat SPRM Johor.
Menurut sumber berkenaan, lelaki itu ditahan atas kesalahan salah guna kuasa menyebabkan universiti berkenaan menanggung kerugian.
"Suspek telah menggunakan kuasa dan kedudukannya sebagai wakil universiti bagi sebuah projek menaiktaraf infrastruktur dan sistem mekanikal, elektrikal serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bernilai lebih RM13 juta.
"Suspek dipercayai melupuskan sisa binaan projek berkenaan sehingga menyebabkan pihak universiti mengalami kerugian dianggarkan sehingga RM500,000," kata sumber berkenaan.
Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi dilaporkan mengesahkan penahanan terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

