76,000 babi di Selangor dikesan dijangkiti ASF

 Sebanyak 76,000 daripada 250,000 babi di 56 ladang di Selangor dikesan sudah dijangkiti demam babi Afrika (ASF) sejak 28 Januari lalu.
Sebanyak 76,000 daripada 250,000 babi di 56 ladang di Selangor dikesan sudah dijangkiti demam babi Afrika (ASF) sejak 28 Januari lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 76,000 daripada 250,000 babi di 56 ladang di Selangor dikesan sudah dijangkiti demam babi Afrika (ASF) sejak 28 Januari lalu.

Pengarah Perkhidmatan Veterinar (DVS) Negeri Selangor, Dr Hassuzana Khalil berkata, penularan wabak itu dijangka berlaku dengan pantas kerana jarak antara ladang ternakan sangat dekat iaitu antara 0.5 hingga 1 kilometer.

Menurut beliau, berdasarkan pemerhatian epidemiologi veterinar, keadaan itu menyumbang kepada kadar jangkitan tinggi dalam kalangan ternakan.

"Setakat ini, sebanyak 668 ekor babi pada 5 Februari lalu telah dilupuskan dan pada hari ini (Selasa) 1,200 lagi babi dilupuskan," katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan 2, Ibu Pejabat DVS Selangor pada Selasa.

Dr Hassuzana memberitahu, tidak semua babi itu dilupuskan secara eutanasia menggunakan karbon dioksida dan ditanam di kawasan ladang babi terbabit.

Sebaliknya, beliau memberitahu, sebanyak 50 peratus daripada jumlah tersebut mungkin akan mati sendiri akibat jangkitan.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan semua babi dijangkiti ASF akan dilupuskan dan mati sendiri menjelang Mac depan.

Jelas beliau, perintah pelupusan itu dilakukan di bawah Seksyen 19, Akta Binatang 1953 telah dikeluarkan kepada 14 pemilik ladang terlibat.

"Setakat ini, dua pemilik ladang babi telah mematuhi dan kami menetapkan tempoh tujuh hari untuk semua pemilik ladang yang telah terima perintah melaksanakan tindakan pelupusan," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, katanya, DVS Selangor turut mengambil langkah drastik dalam mengawal aktiviti pemindahan keluar dan masuk babi di negeri ini.

"Antaranya, syarat pemindahan babi hanya dibenarkan di dalam negeri Selangor dan hanya untuk tujuan penyembelihan di rumah penyembelihan dilesenkan.

"DVS Selangor telah menetapkan laluan pergerakan kenderaan pengangkut babi ke rumah penyembelihan yang hanya dilesenkan.

"Sekiranya kenderaan pengangkut babi ini dikesan tidak berada di laluan ditetapkan semasa memindahkan babi, maka orang yang memindahkan babi ini telah melakukan kesalahan dan boleh didakwa di mahkamah," tambah beliau.

Dalam pada itu, katanya, DVS Selangor turut memperhebat kawalan pemindahan karkas babi khususnya dibawa keluar dari negeri ini melalui aktiviti penguat kuasaan seperti rondaan dan pemantauan pemindahan.

Beliau menjelaskan, hasil daripada tindakan penguatkuasaan tersebut, sebanyak 37 kenderaan pengangkut telah diperiksa semasa Ops ASF dijalankan.

"Sebanyak enam kenderaan pengangkut telah disita termasuk 1 buah ro-ro pengangkut.

"Dari segi jumlah penyitaan, sebanyak 68 ekor babi dan anggaran 9,405.7 kilogram karkas babi telah disita melibatkan pelbagai kesalahan termasuklah di bawah Seksyen 34 dan Seksyen 36 Akta Binatang 1953.

"Kesemua nilai rampasan dianggarkan dengan nilai sebanyak RM 472,900 dengan sebanyak tujuh kertas siasatan telah dibuka dan akan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat setelah siasatan dilengkapkan," kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!