Guna AI jejak beras putih tempatan bersubsidi di pasaran

KPKM menggunakan AI bagi menjejaki secara langsung beras putih tempatan bersubsidi di pasaran. Foto hiasan, gambar kecil: Badrul Hisham
KPKM menggunakan AI bagi menjejaki secara langsung beras putih tempatan bersubsidi di pasaran. Foto hiasan, gambar kecil: Badrul Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menjejaki secara langsung beras putih tempatan (BPT) bersubsidi di pasaran.

Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Badrul Hisham Mohd memaklumkan, langkah tersebut diambil bagi mengatasi isu beras 'ghaib' dari pasaran dan dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Sistem pengesanan ini dibangunkan oleh syarikat tempatan bagi mengesan setiap jejak beras dari destinasi A kepada B," katanya menerusi sidang akhbar di sini pada Selasa.

Menurutnya, sebuah bilik 'war room' beroperasi selama 24 jam sehari diadakan bagi melakukan penjejakan dan pengesanan BPT bersubsidi.

"Ia seperti kod QR, tetapi lebih 'advance' daripada itu. Kami tidak boleh umumkan di sini," jelas beliau.

Ujarnya, penguatkuasaan dan kawalan ke atas BPT bersubsidi menggunakan dua lapisan termasuk Agensi Regulatori dan Penguatkuasaan Agro Makanan Malaysia (MAREA) yang baru ditubuhkan dan diluluskan oleh Kabinet pada 7 Februari lalu.

"Saya tidak boleh jamin seratus peratus kerana tidak boleh lari dari kelemahan di sini atau di sana.

"Seramai 1,200 anggota MAREA turut terlibat dengan penguatkuasaan dan kami yakin dengan kapasiti itu ditambah pula sistem AI, ia dapat dikawal," kata beliau.

BPT sukar diperoleh di pasaran berlarutan sejak dua tahun lalu walaupun kementerian giat melaksanakan rombakan strategi melalui pelaksanaan reformasi industri padi dan beras.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh memberi bayangan kemungkinan terdapat penglibatan kartel dalam industri tersebut termasuk penyalahgunaan kedudukan dominan mana-mana syarikat yang mengawal bekalan benih dan import.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!