[VIDEO] Kes Jahidah: Rosmaini dibenar tangguh hukuman penjara 10 tahun

A
A
A

JOHOR BAHRU - Mahkamah Tinggi di sini, pada Selasa membenarkan permohonan seorang peniaga, Rosmaini Abdul Raof, 42, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 10 tahun sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Perkara berkenaan diputuskan Hakim, Datuk Abu Bakar Katar selepas meneliti hujahan Timbalan Pendakwa Raya, Juanita Mohd Said dan peguam, Kamal Hisham Jaafar serta Muhammad Nor Tamrin yang mewakili Rosmaini yang bersidang pada 7 Februari lalu.

Abu Bakar dalam keputusannya menyatakan bahawa mahkamah menggunakan budi bicara berdasarkan Seksyen 311 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) dan tidak dipengaruhi oleh pandangan umum yang tular di media sosial.

Mahkamah turut mengambil kira isu bermerit dalam rayuan, termasuk dakwaan percanggahan dalam keterangan saksi utama dengan dokumen berkaitan serta keputusan hakim bicara yang tidak membenarkan saksi itu dipanggil semula oleh pembelaan.

Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada Selasa membenarkan permohonan Rosmaini (tengah) menangguhkan hukuman penjara 10 tahun yang dikenakan ke atasnya sebelum ini.
Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada Selasa membenarkan permohonan Rosmaini (tengah) menangguhkan hukuman penjara 10 tahun yang dikenakan ke atasnya sebelum ini.

Berdasarkan alasan tersebut, mahkamah membenarkan permohonan penangguhan hukuman dengan beberapa syarat, antaranya jaminan bercagar sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin serta keperluan pemohon melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan sehingga rayuan selesai.

Hakim turut menetapkan jika pemohon gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan, perintah penggantungan hukuman akan terbatal serta-merta dan waran penjara akan dikeluarkan.

Mahkamah turut menetapkan 7 April depan sebagai tarikh sebutan semula rayuan kes.

Sebelum itu pada 9 Disember tahun lalu, Rosmaini dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap isteri ketiganya Jahidah Nordin @ Sylvester, 43, sehingga koma, empat tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Hakim Fatimah Zahari membuat keputusan di akhir pembelaan kes berkenaan terhadap Rosmaini, selepas perbicaraan berlangsung selama tiga tahun dengan 11 saksi pendakwaan dipanggil.

Rosmaini dibenarkan menangguhkan hukuman penjara 10 tahun yang dikenakan ke atasnya pada Disember tahun lalu.
Rosmaini dibenarkan menangguhkan hukuman penjara 10 tahun yang dikenakan ke atasnya pada Disember tahun lalu.

Hakim dilaporkan berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Kes Jahidah pernah menggemparkan negara sebelum ini kerana wanita berkenaan dilaporkan hamil ketika dipukul sehingga parah dan koma.

Jahidah yang juga bekas kakitangan sebuah jabatan kerajaan itu kemudian dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar, di Seremban, Negeri Sembilan, selepas menerima rawatan awal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Jahidah selamat melahirkan bayi lelaki, Eshan Nufail secara pembedahan pada 30 November 2021.

Pada 15 Mac tahun lalu, Mahkamah Rendah Syariah Seremban dilaporkan membenarkan permohonan cerai yang dikemukakan keluarga Jahidah pada 2023.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!