Tular abang bomba selamatkan anak lembu jatuh longkang

Operasi menyelamatkan anak lembu yang terjatuh dalam longkang. (Kanan: Keadaan anak lembu yang 'terbaring' dalam longkang.)
Operasi menyelamatkan anak lembu yang terjatuh dalam longkang. (Kanan: Keadaan anak lembu yang 'terbaring' dalam longkang.)
A
A
A

SHAH ALAM - Gara-gara ingin mengelak daripada dilanggar kenderaan, seekor anak lembu tersangkut lebih 30 minit dalam longkang sebelum berjaya diselamatkan oleh anggota bomba di Tanjung Tokong, Pulau Pinang.

Seorang anggota bomba, Mohd Supian Norharun, 43, berkongsi pengalamannya berkata, kejadian tersebut berlaku pada 30 Disember tahun lalu dan melibatkan enam orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal.

“Kejadian itu tahun lepas, tetapi baru viral sekarang. Pada pagi kejadian, kami menerima laporan daripada orang awam jam 7.15 pagi dan bila pergi ke tempat tersebut, betul ada seekor anak lembu dalam longkang, saiznya lebih kurang seperti lembu remaja.

“Sebenarnya anak lembu itu terlepas daripada kawanannya...bila nak elak kereta menyebabkan lembu itu terjatuh dan saiz badannya memang betul-betul muat dalam longkang.

“Untuk keluarkannya, kami guna peralatan khas yang dipanggil webbing. Bila guna peralatan tersebut, mungkin sebab anak lembu itu terkejut menyebabkannya jadi lebih agresif...jadi kami biar semua tenang dahulu risau kalau ada anggota tercedera, kemudian barulah mula semula,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurut Mohd Supian, walaupun operasi tersebut hanya mengambil masa 30 minit tetapi keadaan longkang yang sempit dan kedudukan ‘terbaring’ anak lembu itu menjadikan ia salah satu cabarannya.

Operasi menyelamatkan anak lembu yang terjatuh dalam longkang.
Operasi menyelamatkan anak lembu yang terjatuh dalam longkang.

Beliau yang berasal daripada Pulau Pinang itu menjelaskan, proses menyelamatkan itu kemudian bertukar mudah kerana pasukannya mempunyai anggota berpengalaman dan berjaya membuatkan anak lembu itu tidak bertindak agresif.

Artikel Berkaitan:

“Memang tidak dinafikan lepas sahaja kami selamatkannya, terus anak lembu itu lari. Ia juga tidak terlalu sukar nak selamatkan... hanya ambil masa 30 minit sahaja.

“Sebenarnya, saya ada juga tanya penduduk setempat bagaimana kejadian sebenar berlaku dan saya tanya juga siapa tuannya, tetapi biasalah perkara ini tidak ada yang mahu mengaku.

“Perkara seperti ini bahaya, takut jika binatang seperti itu boleh mencederakan orang tidak bersalah atau rosakkan barang orang awam. Saya harap mereka yang ada ternakan janganlah lepas begitu sahaja sebab bahaya,” ujarnya.

Tambahnya, insiden menyelamatkan haiwan peliharaan atau binatang itu diklasifikasikan dalam operasi Khidmat Khas.

Beliau yang sudah lapan tahun berkhidmat dalam perkhidmatan tersebut turut berkongsi, insiden operasi penyelamatan melibatkan haiwan peliharaan atau binatang bukan sesuatu perkara baharu dan ia juga sering berlaku.

Katanya, beliau juga pernah melibatkan diri menyelamatkan 15 ekor kucing yang terperangkap dalam kebakaran rumah pada tahun 2021.

“Saya cuma nak cakap dekat sini, saya sentiasa rasa bersyukur kerana dapat menyelamatkan satu lagi nyawa walaupun ia bukan seorang manusia, kerana itulah tanggungjawab saya,” kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!