Isu buli di MTD: CCTV ditambah, jurulatih diarah ronda blok dua jam sekali

Adly menerima taklimat daripada pegawai Parlimen berkenaan soalan Syed Saddiq yang meminta kementerian menjelaskan langkah menghentikan kejadian buli MTD. Foto Facebook Adly Zahari
Adly menerima taklimat daripada pegawai Parlimen berkenaan soalan Syed Saddiq yang meminta kementerian menjelaskan langkah menghentikan kejadian buli MTD. Foto Facebook Adly Zahari
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah melaksanakan penambahbaikan bagi menangani isu buli di Maktab Tentera Diraja (MTD) antaranya meningkatkan jumlah kamera litar tertutup (CCTV) daripada 12 kepada 64 unit di kawasan blok penginapan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, ia bertujuan mengawasi dan mengesan aktiviti mencurigakan dalam kalangan pelajar.

Menurutnya, jurulatih bertugas juga diarah melaksanakan rondaan berkala dan tidak berkala di blok penginapan selepas jam 11.30 malam setiap hari dengan kekerapan sebanyak dua jam sekali.

"Sesi pertemuan antara pelajar, pentadbir serta jurulatih turut diadakan bagi memperoleh maklumat awal salah laku. Ia dilaksanakan bagi mengatasi isu keengganan Putera (pelajar) membuat laporan salah laku.

"Selain itu, penguatkuasaan Perintah Tetap Putera (PTP) bagi larangan terhadap aktiviti pelanggaran disiplin dan pengasingan blok penginapan Tingkatan Empat dan Lima mulai 2020, bertujuan mengurangkan risiko perkara tidak diingini berlaku.

"Kementerian Pertahanan (Mindef) dan ATM takkan berkompromi dengan sebarang bentuk kesalahan disiplin termasuk perbuatan buli.

"Siasatan akan dilaksanakan dan tindakan tegas bakal diambil terhadap mana-mana individu terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Dewan Rakyat mengenai pendekatan untuk menghentikan kejadian buli yang sistemik dan semakin membarah di MTD.

Pada Januari lalu, Sinar Harian secara eksklusif melaporkan insiden buli dan denda keterlaluan di MTD yang didedahkan oleh beberapa ibu bapa serta bekas pelajar institusi pengajian berasaskan ketenteraan itu.

Artikel Berkaitan:

Dakwa pengadu, dia dipaksa melakukan denda 'commando rest' sambil muka dilemaskan dalam baldi berisi air bukan niat bergurau, sebaliknya mahu membunuh.

Bukan itu sahaja, ibu kepada salah seorang mangsa buli mendedahkan bahawa anaknya pernah diliwat senior, kes didengar dan pelaku sudah dijatuhkan hukuman.

Bagaimanapun, dakwa wanita tersebut, anak lelakinya dipaksa lapor diri kepada senior selama 60 hari dari bilik ke bilik gara-gara melaporkan perkara berkenaan, bahkan dipaksa mop lantai menggunakan lidah.

Selain itu, ada antaranya mendakwa perbuatan buli di sekolah terbabit dipengaruhi oleh kewujudan beberapa organisasi dalaman seperti Enam Jahanam, Enam Azazil, Tujuh Malaikat Maut dan sebagainya bagi menghalalkan kegiatan pukul-memukul atau curi.

Dalam pada itu, Adly memaklumkan, meskipun MTD dihambat kontroversi pada awal tahun ini, keyakinan masyarakat terhadap institusi berkenaan masih tinggi.

Ia kerana jelasnya, seramai 3,990 permohonan diterima berbanding 2,200 pada tahun lalu, meskipun pengambilan terhad kepada 260 pelajar.

"Tugas kita di MTD dan ATM adalah memastikan pelajar-pelajar ini memiliki tahap disiplin yang tinggi kerana mereka masa depan kepada sistem ketenteraan serta penjawat awam, apatah lagi kepimpinan negara," ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!