'Dulu jaga ibu bapa sakit, kini Muhamad Adam Aizad diuji kanser tulang'

KUALA KRAI - Pelajar Tingkatan Empat, Muhamad Adam Aizad Mazlan, 16 yang sebelum ini berdikari menjaga ibu dan bapa sakit diuji menghidap kanser tulang tahap dua pada Jun tahun lalu.
Muhamad Adam Aizad sudah menjalani enam kali rawatan kemoterapi pusingan pertama di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krai yang juga seorang pengawas terpaksa menggunakan kerusi roda kerana tidak mampu berjalan.
"Saya tidak dapat berjalan bermula April tahun lalu kerana bengkak tulang paha dan dijadualkan menjalani pembedahan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) pada pertengahan Mac depan," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Batu Jong di sini.
Anak tunggal itu berharap keadaannya semakin baik selepas pembedahan tetapi mungkin terpaksa bercuti lebih lama bagi memulihkan kesihatannya.
Justeru, besar harapannya jika pihak sekolah dapat memberi peluang menjalani sesi pembelajaran secara dalam talian dalam tempoh bercuti sakit.
Muhamad Adam Aizad yang berada di kelas Sains tidak mahu ketinggalan dalam pelajaran kerana benar-benar berhasrat memenuhi impiannya untuk bergelar doktor.
Sebelum ini media melaporkan, Muhamad Adam Aizad menggalas tanggungjawab menjaga bapanya Mazlan Latif, 60, selepas terlantar lebih setahun lalu akibat angin ahmar manakala ibunya, Rahayu Daud, 50, yang didiagnos penyakit buah pinggang tahap lima.
Sementara itu, Rahayu berkata, suaminya yang juga menghidap penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi kini tidak lagi minum menggunakan tiub khas melalui hidung.
"Alhamdulillah dengan kekuatan yang ada saya boleh menguruskan Muhamad Adam Aizad dan suami walaupun perlu melakukan dialisis setiap tiga kali seminggu," katanya.
Mereka menerima kunjungan Pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cempaka Merah Asnaf Society Che Norhayati Mohamed.
Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Rahayu di talian 019-5806861 atau menyalurkannya ke nombor akaun Bank Islam 03072022201780 atas nama Rahayu Daud.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
